AMIRUDIN tiba untuk melakukan tinjauan kawasan pelupusan sampah haram di Serdang. FOTO Owee Ah Chun.
AMIRUDIN tiba untuk melakukan tinjauan kawasan pelupusan sampah haram di Serdang. FOTO Owee Ah Chun.
Amir Abd Hamid


Seri Kembangan: Kerajaan negeri Selangor akan merampas lebih sembilan hektar tanah membabitkan 15 lot oleh Pemilik Tanah Berdaftar di Bukit Serdang, di sini, yang menjadi tapak pelupusan sampah haram.

Isu utama terjadinya pencemaran apabila air larut resap (leachete) dari tapak pelupusan sampah haram berkenaan menyebabkan ribuan penduduk di Taman Puncak Jalil, Bukit Serdang dan kawasan sekitarnya terpaksa menghidu bau busuk setiap hari.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jika selepas tempoh yang diberikan pemulihan tanah tidak dilaksanakan serta Pemilik Tanah Berdaftar masih ingkar dan berdegil, tindakan rampasan tanah oleh Pentadbir Tanah akan dilakukan di bawah Notis 8A, Seksyen 130 Kanun Tanah Negara 1965.

"Sekarang tindakan sudah diambil dengan mengeluarkan Notis 7A kepada pemilik untuk memulihkan pelanggaran syarat tanah berkenaan.

"Seterusnya, Notis 7B akan dikemukakan bagi penyiasatan dan mendapatkan pengesahan terhadap pemulihan yang sudah dibuat, (seterusnya) kita perlukan lagi minimum dua tiga bulan untuk melakukan sepenuhnya proses rampasan," katanya dalam sidang media selepas melakukan pemantauan di tapak pelupusan sampah haram berkenaan.

Turut sama, bekas Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar yang juga Ahli Parlimen Puchong Yeo Bee Yin, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Datuk Johary Anuar, Pegawai Daerah Petaling Mohd Jusni Hashim dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar Selangor Nor Aziah Jaafar.

Amirudin berkata, kerajaan negeri menerusi agensinya Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Daerah Petaling akan menghubungi 15 pemilik tanah yang terbabit esok untuk mendapatkan kebenaran masuk untuk menguruskan leachete dan juga bau.

"RM2 juta hingga RM3 juta untuk uruskan leachete dan juga bau yang sedia ada terutama di kolam. Ia bukan satu kerja yang mudah sebab banyak peringkat tetapi kita akan ambil tindakan segera.

"Tindakan akan dibuat oleh anak syarikat (kerajaan negeri) dan sebagainya dengan pejabat tanah (PTG Daerah Petaling) akan bertindak segera memanggil 15 pemilik tanah untuk benarkan kerajaan masuk. Isunya ini bukan tanah kerajaan, ia adalah tanah hak milik," katanya.

Beliau menjelaskan pusat pelupusan sampah haram itu sebenarnya sudah pun dihentikan operasi lebih setahun tetapi isu besarnya sekarang timbunan sampah yang ditinggalkan itu mengalirkan leachet atau pun air dari sisa sampah yang menyebabkan bau busuk kepada persekitaran.

Katanya, beberapa langkah yang dibuat segera adalah ban supaya air sisa sampah berkenaan tidak mengalir sampai ke kolam takungan di Puncak Jalil.

"Sampah yang dibuang (di tapak pelupusan haram Bukit Serdang) sudah lebih enam hingga tujuh tahun. Ia bermula 2015 sekarang 2022. Sebenarnya setahun lebih sudah tidak beroperasi kerana kita sudah tutup.

"Pihak majlis (MBSJ) sebelum ini sudah melakukan beberapa tindakan saman. Sudah dua tiga kali kita kenakan kompaun RM25,000 yang semuanya dibayar. Kita juga sudah pasang barricade (penghadang) konkrit dan itu juga dipecahkan," katanya.

Sementara itu ditanya mengenai kemungkinan pembabitan gangster 'menjaga' tapak pelupusan sampah haram, katanya, maklumat ada diterima namun kerajaan negeri sentiasa bekerjasama dengan pasukan keselamatan seperti polis dan sebagainya untuk mengatasi masalah itu.

Wartawan Harian Metro yang turut memasuki tapak pelupusan sampah haram itu mendapati tapak itu membentuk seolah-olah gaung dengan aliran air hitam pekat mengalir ke beberapa kolam serta terdapat ratusan ekor anjing berkeliaran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2022 @ 8:16 PM