PROJEK pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) di Seksyen 13, Shah Alam.
PROJEK pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) di Seksyen 13, Shah Alam.
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Projek pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) di Seksyen 13, di sini, tidak akan membabitkan pertukaran tanah seluas 1,227 hektar di Pulau Carey, Kuala Langat milik Yayasan Selangor.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata tanah itu akan digunakan bagi pembangunan Pelabuhan Pulau Carey yang dipertanggungjawabkan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

"Saya ingin tegaskan tanah itu tidak akan digunakan bagi pindah milik atau kaedah penukaran tanah bagi pembinaan KSSA.

"Tanah-tanah (Yayasan Selangor) akan dijadikan kapital kerajaan negeri untuk memegang minimum sebanyak 20 peratus kepada usaha (pembangunan) dan juga operasi pelabuhan ketiga tersebut," katanya dalam sesi Penggulungan Perbahasan Usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama (RS-1) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Amirudin menjawab pertanyaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PN-Hulu Kelang) yang membangkitkan perkara itu dalam sesi perbahasan pada 4 Julai lalu dengan mendakwa pembangunan KSSA dibiayai oleh pertukaran tujuh lot tanah seluas 1,277 hektar tanah di Pulau Carey.

Amirudin berkata, kerajaan negeri mempunyai tempoh setahun dari bermulanya perobohan Stadium Shah Alam untuk mengenal pasti tanah dipindah milik bagi kos pembinaan KSSA dengan tanah di Kuala Langat dan Hulu Selangor berpotensi disenarai pendek bagi penukaran tanah.

Beliau berkata perkara itu sedang dibincangkan antara Setiausaha Kerajaan Negeri yang mewakili Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dengan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) selaku pemaju projek.

"Proses perobohan KSSA dibiayai di peringkat awal oleh MRCB yang sudah kita lantik untuk melakukan kerja perobohan dan pembinaan kawasan kompleks berkenaan," katanya.

Beliau berkata, tempoh setahun perobohan Stadium Shah Alam itu sudah mengikut terma yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memandangkan keseluruhan kawasan Seksyen 13 itu adalah kawasan penempatan dan kawasan perniagaan.

"Jadi aktiviti kebisingan itu tidak boleh melebihi tujuh desibel yang sudah ditetapkan.. sebab itu kaedahnya masih menggunakan kaedah konvensional.

"Pada hari ini saya menyemak kembali sebab mereka berjanji akan membawa lebih banyak peralatan mesin (machinery)..saya harap selepas ini kita boleh semak untuk memastikan bangunan itu dapat dirobohkan yang sudah ditetapkan.

"Sebahagiannya digunapakai semula, antaranya keruntuhan batu-batu itu boleh gunakan semula untuk kawasan hakisan pantai, kita sudah kenal pasti satu dua tempat.

"Kerusi yang masih elok baik, kita akan beri kepada stadium lain yang ada di Sabak Bernam, Sungai Besar, Selayang yang masih lagi menjadikan tempat duduk simen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 10:31 PM