Datuk Seri Amirudin Shari
Datuk Seri Amirudin Shari
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Kerajaan Selangor sedang meneliti beberapa pilihan tapak tanah di Klang dan Hulu Selangor untuk proses penggantian tanah (land swaping) bagi pembiayaan pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA).

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penilaian sedang dilakukan bagi memastikan tanah yang diganti mempunyai nilai sama dan saksama.

"Saya percaya menjelang April ini, kita akan selesaikan proses penggantian tanah. Semalam (kelmarin), Setiausaha Kerajaan Negeri (Datuk Haris Kassim) sudah berjumpa pihak yang terbabit mengenai pilihan tanah yang kita boleh gantikan.

"Selepas Aidilfitri, kita boleh isytihar di mana tapaknya dan apakah kos keseluruhan (pembangunan KSSA)," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Mohamed Azmin Ali (Bersatu-Bukit Antarabangsa) sama ada Pulau Carey di Kuala Langat akan termasuk dalam proses penggantian tanah bagi pembangunan KSSA.

Amirudin berkata, kawasan Pulau Carey tidak termasuk dalam senarai berkenaan kerana kerajaan negeri ingin menumpukan kawasan itu bagi pembinaan pelabuhan ketiga di Selangor dan projek Pembangunan Serantau Bersepadu Selatan Selangor (IDRISS)

"Kita hanya ada sekitar 404.69 hektar (1,000 ekar) tanah milik Yayasan Selangor (di Pulau Carey) dan nilai itu (untuk penggantian) tidak mencukupi," ujarnya.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, kerajaan negeri menerusi Perbadanan Menteri Besar Selangor (MBI Selangor) sedang menjalani proses penilaian terhadap kos keseluruhan pembangunan kerana ia bukan sahaja melibatkan stadium tetapi keseluruhan pembangunan 171.816 ekar kawasan termasuk Stadium Malawati.

"Secara asasnya, 50 peratus kawasan akan dibangunkan dengan kemudahan sukan; 30 peratus bagi taman dan tanaman hijau untuk menjamin kawasan hijau dan selebihnya sekitar 20 peratus untuk utiliti dan komersial.

"Pada April ini, Kebenaran Merancang (KM) boleh dihantar dan kita boleh mulakan kerja tanah awalan untuk pembinaan]," katanya.

Sebelum ini, MBI Selangor pada 26 Januari hingga 10 Februari melaksanakan sesi libat urus awam pembangunan KSSA yang menerima puluhan ribu pandangan serta cadangan daripada rakyat Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2023 @ 1:14 PM