RAZARUDIN mengadakan sidang media susulan PRN Sabtu ini. FOTO Aswadi Alias.
RAZARUDIN mengadakan sidang media susulan PRN Sabtu ini. FOTO Aswadi Alias.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bekerjasama bagi permohonan notis merah Polis Antarabangsa (Interpol) terhadap menantu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya memberikan kerjasama membabitkan bantuan kepada SPRM.

"Kerjasama dengan pihak SPRM, kita akan bantu apa saja, itu tidak jadi masalah antara agensi sesama agensi, "katanya pada sidang media di Bukit Aman yang disiarkan secara langsung di laman Facebook rasmi, hari ini.

SPRM sebelum ini dilaporkan akan memohon Notis Merah Interpol terhadap menantu Muhyiddin dan seorang lagi individu yang dipercayai melarikan diri dalam kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.

Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam Baki, berkata permohonan itu akan dilakukan dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam masa terdekat.

Individu pertama yang dicari SPRM ialah Muhammad Adlan Berhan, 48, dengan alamat terakhir di Lot 65, Sunway Kiara Hills, Jalan 32/70A Desa Sri Hartamas, manakala, seorang peguam, Mansoor Saat, 69, beralamat terakhir di 5 Jalan SS19/1C Subang Jaya, Selangor.

Bagaimanapun, Muhammad Adlan dalam satu kenyataan melalui peguam, Datuk Baljit Singh Sidhu menafikan beliau lari daripada pihak berkuasa dan menyatakan akan pulang ke tanah air bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2023 @ 6:53 PM