Hafiz Ithnin


"KETIKA kanak-kanak saya tinggal di rumah kampung. Pemandangan tingkap bilik berdepan dengan dusun. Malah, saya juga mempunyai rumah di atas pokok. Saya rasakan ia suatu kenangan yang amat manis ketika itu," jelas ibu kepada sepasang cahaya mata berusia empat dan dua tahun itu kepada penulis.

Sebaik sahaja mendapat kediaman baharu dibelinya pada 2021, Nur Syarina Natasya Hassan, 30, dan suaminya, Muhammad Fitri Ismail, 33, ingin mencurahkan pengalaman kanak-kanak Nur Syarina Natasya itu kepada kedua-dua cahaya matanya di bilik tidur.

Katanya, memandangkan kini dia dan suami membeli kediaman di bandar, sudah tentu sukar untuk memberi pengalaman yang sama kepada anak-anak mereka untuk menikmati suasana kampung.

"Jadi, saya mula mencari idea untuk mewujudkan suasana itu di dalam bilik tidur mereka dengan dekorasi ruang berkenaan yang mempunyai elemen kampung, ketenangan dan keseronokan.

"Awalnya saya dan suami banyak mencari ilham di media sosial untuk mendapatkan ilham bagi mendekorasi bilik anak-anak sesuai dengan cita rasa kami sekeluarga," katanya.

Jelasnya, bercerita mengenai cita rasa, bagi mendekorasi bilik anak-anak mereka tidak boleh hanya mengutamakan selera peribadi sahaja kerana perlu melihat kepada cita rasa peribadi anak-anak yang bakal menduduki ruang berkenaan.

"Sebenarnya untuk mendekorasi bilik anak yang masih kecil ini agak mencabar kerana sebagai ibu dan bapa, kami perlu melihat kepada pelbagai faktor iaitu keselesaan, keseronokan, cita rasa anak-anak dan pastinya tidak boleh dipandang remeh adalah tahap keselamatan ruang itu sendiri.

"Bagi saya dan suami, semua elemen ini perlu ada untuk medekorasi ruang peribadi anak-anak yang masih kecil kerana kami berdua percaya keselesaan dan ketenangan sesuatu ruang mampu memberi kesan baik kepada pertumbuhan minda mereka," katanya.

RUANG di bahagian atas untuk bermain.
RUANG di bahagian atas untuk bermain.

Katanya, selepas mendapatkan beberapa contoh foto bilik kanak-kanak yang menarik sebagai ilham, dia mula mencari pereka hiasan dalaman yang berpengalaman untuk menterjemahkan inspirasi itu.

"Saya kenal dengan pereka seorang dalaman kerana tertarik dengan hasil kerjanya untuk menyiapkan rumah adik saya. Jadi, saya mula berbincang dengan pihak pereka hiasan dalaman untuk mendekorasi bilik anak-anak.

"Selepas menunjukkan beberapa contoh gambar, pereka hiasan memberikan kami rekaan tiga dimensi (3D) untuk kami dapat melihat secara teliti bakal ruangan itu selepas disiapkan kelak," katanya.

Jelasnya, dia melantik pereka hiasan dalaman kerana melihat keupayaan golongan itu lebih baik untuk menzahirkan inspirasi dia dan suami berbanding melakukan sendiri. Tambahan, pereka hiasan berpengalaman lebih tahu mengenai bahan yang sesuai untuk digunakan dalam mendekorasi sesuatu ruang," katanya.

Tambahnya, dia dan suami tidak mengambil masa yang lama untuk memuktamadkan perbincangan dengan pihak pereka hiasan dalaman yang dilantik dan proses menyiapkan bilik itu hanya mengambil masa tidak sampai dua minggu.

Jelasnya, dia dan suami sepakat untuk memilih rona yang tenang iaitu warna hijau di dalam bilik si kecil mereka. Tambahan warna itu lebih serasi untuk anak lelaki dan perempuan.

"Bagi memilih warna saya, suami dan pereka hiasan dalaman perlu memastikan bilik anak-anak tidak 'memihak' kepada mana-mana jantina kerana anak saya seorang lelaki dan seorang lagi perempuan.

TERDAPAT gelongsor di bahagian bahagian tepi untuk dijadikan tempat bermain di dalam bilik.
TERDAPAT gelongsor di bahagian bahagian tepi untuk dijadikan tempat bermain di dalam bilik.

"Jadi warna hijau adalah paling sesuai sebagai titik fokal rona yang diadunkan dengan warna putih di bahagian dinding. Warna yang dipilih di dinding sememangnya mewujudkan suasana yang cukup tenang. Malah, apabila dilimpahkan dengan cahaya lampu lebih menaikkan lagi serinya," katanya.

Katanya, dari segi perabot, bilik tidur anak mereka mempunyai dua bahagian itu di bahagian bawah adalah katil dan di atasnya pula adalah ruang aktiviti yang luas untuk kanak-kanak seusia anaknya.

"Ruang atas itu adalah antara yang menjadi bahagian utama kerana ia adalah elemen yang menonjolkan inspirasi yang kami inginkan iaitu seperti rumah di atas pokok dan juga kelihatan di dalam bilik terdapat taman peribadi," katanya.

Jelasnya, dari segi keselamatan, tangga untuk ke bahagian atas tidak terlalu tinggi dan mempunyai lebar yang sesuai untuk keselamatan kanak-kanak menaikinya.

"Selain itu, di bahagian tepi tangga yang terdapat tingkap juga pereka hiasan dalaman meletakkan penghadang yang lebih tinggi daripada anak-anak. Namun, bahagian tingkap masih lagi kelihatan kerana saya ingin terdapat pencahayaan asli masuk ke dalam bilik.

"Di ruang atas juga terdapat pintu rotan yang lebih tinggi daripada ketinggian anak-anak. Jadi, di sini, kami bukan sahaja menitik beratkan keindahan dan keselesaan tetapi faktor keselamatan adalah elemen paling utama ketika mereka berada di dalam bilik," katanya.

Selain itu, jelasnya, ketinggian antara tempat tidur dan lantai tingkat atas (tempat bermain) agak tinggi kerana kanak-kanak masih boleh berdiri dan tidak akan terkena kepala.

"Jika orang dewasa yang berada di katil itu, kita masih boleh bangun separuh badan dengan selesa. Jadi, ketinggian antara katil dan lantai bahagian atas juga perlu diberi perhatian oleh pereka hiasan dalaman kami," katanya yang membelanjakan sekitar RM30,000 untuk ruang 12 kaki persegi bilik berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 7:01 AM