MUHAMMAD Adlan. FOTO Ihsan Baljit Singh Sidhu
MUHAMMAD Adlan. FOTO Ihsan Baljit Singh Sidhu
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam proses memasukkan nama dua individu termasuk menantu bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke dalam senarai notis merah Polis Antarabangsa (Interpol).

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ia memerlukan lebih masa kerana membabitkan beberapa prosedur.

"Kita (PDRM) diminta membantu permohonan notis merah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menjalankan siasatan kes.

"Sebelum permohonan notis merah dibuat, kita kena mendapatkan waran. Kesemua proses itu ada prosedurnya dan berapa lama (notis merah boleh dikeluarkan) bergantung kepada proses," katanya dalam sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan SPRM akan memohon kepada PDRM untuk memasukkan nama dua individu termasuk menantu Muhyiddin ke dalam senarai notis merah, jika gagal tampil untuk menghadapi pendakwaan.

Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, 48, dan Mansoor Saat, 69, dikehendaki tampil ke SPRM bagi tujuan pendakwaan kes rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2023 @ 5:29 PM