DATUK Seri Anwar Ibrahim.
DATUK Seri Anwar Ibrahim.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Seremban: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan beliau ada menerima panggilan telefon daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai kes penyelewengan projek membabitkan menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu Datuk Muhammad Adlan Berhan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menghubunginya dan memberitahu bahawa Muhammad Adlan mengingkari janjinya untuk pulang ke tanah air selepas dibenarkan keluar negara atas urusan tertentu.

Perdana Menteri berkata, ketika panggilan itu dibuat, Azam memberitahu bahawa kes membabitkan Muhammad Adlan adalah 'kes besar'.

"Tadi perjalanan saya dari Sungai Long ke Cuah, Port Dickson, dapat panggilan daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM (Azam maklumkan) menantu dia (Muhyiddin) lari, saya kata lari di mana?

"Saya tanya kes ini kes kecil ke kes besar, dia (Azam) kata kes besar. Sudah siasat, dah bagi notis, dah.

"Kemudian (saya tanya) macam mana dia (Muhammad Adlan) boleh keluar negara? Dia (Muhammad Adlan) kata dia nak keluar, dia nak balik (semula ke Malaysia), tapi dia tak balik," katanya semasa berucap pada Jelajah Perpaduan Madani Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi.

SPRM sebelum ini dilapor mengesan dua lelaki bagi membantu siasatan kes rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, dua individu yang dikesan itu ialah Muhammad Adlan Berhan, 48, dengan alamat terakhir di Lot 65, Sunway Kiara Hills, Jalan 32/70A Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur, manakala individu kedua, Mansoor Saat, 69, yang beralamat terakhir di 5 Jalan SS19/1C Subang Jaya, Selangor.

Muhyiddin turut dilaporkan selepas itu enggan memberikan sebarang komen berhubung status menantunya, Muhammad Adlan yang dicari SPRM.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau tidak mahu menjatuhkan hukuman terlebih dahulu kepada menantu Muhyiddin itu, sebaliknya menyerahkan kepada badan kehakiman bagi menentukan sama ada Muhammad Adlan bersalah atau tidak.

"Dia tak balik apa jadi, kita bagi notislah. Tapi itu tak apalah proses siasatan hakim memutuskan, kita belum tahu (bersalah ataupun tidak), cuma dia (SPRM) kata ada kes," katanya.

Ahli Parlimen Tambun itu turut menyindir kepimpinan Perikatan Nasional (PN) yang mendakwa mereka bersih dalam kempen mereka, namun turut terpalit dengan isu penyelewengan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 2:32 PM