LAGU SAH nyanyian Sarah Suhairi bersama Alfie Zumi diterima baik di Indonesia.
LAGU SAH nyanyian Sarah Suhairi bersama Alfie Zumi diterima baik di Indonesia.
Norhayati Nordin

SYARIKAT rakaman Warner Music Malaysia (Warner) melakar sejarah tersendiri dalam catatan pendapatan apabila meraih keuntungan sebanyak RM303.89 juta tahun lalu, sekali gus mengatasi rekod pendapatan sebelum ini pada 1998 iaitu RM300 juta.

Pengarah Urusannya, Dinesh Ratnam berkata, ia pencapaian pendapatan terbaik pernah diperoleh syarikat rakaman terkenal itu pada 2023 lalu, termasuk berbangga dengan penerimaan lagu-lagu Malaysia hingga ke luar negara.

"Boleh dikatakan, perkembangan industri hiburan dan muzik Malaysia ketika ini sangat relevan dan berpotensi besar. Ramai penyanyi kita sekarang sudah berjaya menempatkan diri di pentas serantau dan global.

"Dengan adanya platform digital, penstriman dan juga media sosial pada masa kini sangat membantu perkembangan industri hiburan serta muzik tempatan terutama dalam memasarkan lagu-lagu penyanyi tanah air sehingga ke luar, juga negara jiran," katanya.

Dinesh yang baru tujuh bulan memimpin Warner Music sejak Oktober tahun lalu mengakui gembira dan berbangga dengan pencapaian diraih syarikat rakaman itu, terutama mendapati lagu dan nama bakat tempatan semakin 'mekar' di negara jiran seperti Indonesia.

"Kugiran Masdo, antara yang diminati dan ada ramai peminat di Indonesia. Permintaan untuk mereka ke sana membuat persembahan juga ada dan kita perlu berbincang dengan pihak Warner Music Indonesia.

"Selain itu, lagu SAH nyanyian Sarah Suhairi bersama Alfie Zumi hasil kerjasama Warner Music dan Rusa Marketing Sdn Bhd juga diterima sangat baik dan kini begitu popular dalam kalangan pendengar di Indonesia. Jadi, perkembangan muzik kini tiada sempadan.

"Melihat kepada perkembangan yang sihat ini, Warner Music sentiasa berbesar hati untuk meneruskan jalinan kerjasama dengan penyanyi dari syarikat rakaman tempatan yang lain kerana ia boleh memacu ke depan lagi perkembangan muzik negara," katanya.

Ditanya mengenai keuntungan yang perlu dibahagikan menerusi kerjasama dibuat itu, Dinesh berkata, di antara syarikat sudah tentu terlebih dulu membincangkan pembahagian keuntungan dipersetujui bersama.

"Kita akan sama-sama dapat untung yang mengikut persetujuan dicapai. Cuma, saya melihat hasil kerjasama dengan syarikat rakaman lain ini ada baiknya untuk industri, tetapi kita

(Warner)

tidak memaksa. Sekiranya mahu kerjasama, boleh dibincangkan dulu.

"Saya pun tidak sangka, kerjasama kita dengan Rusa Marketing membuahkan hasil kejayaan sangat baik menerusi single SAH apabila ramai menyukainya dan sangat popular di TikTok, penstriman dan platfom digital," katanya.

Menurut Dinesh, pengaruh kepesatan teknologi hari ini sudah memperkasakan penciptaan muzik untuk menghasilkan serta mengedarkannya secara bebas, menjangkau khalayak secara langsung melalui platform penstriman iaitu lebih mudah diakses untuk membawa kepada ledakan kandungan.

Katanya, jalinan kerjasama secara berkesan di platform digital dan penstriman popular seperti Spotify, YouTube, TikTok dan sebagainya sangat membantu industri muzik tempatan memacu pertumbuhan yang sangat baik serta positif melalui jualan digital.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 6:20 AM