Azam Baki.
Azam Baki.
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Dua lelaki termasuk menantu kepada bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dicari bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian dipercayai sudah melarikan diri ke luar negara.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata, berdasarkan siasatan didapati kedua mereka berada di sebuah negara.

"Kita perlu mengeluarkan 'wanted list' (senarai orang dikehendaki) kerana mereka gagal hadir ke pejabat SPRM dan berkemungkinan sudah melarikan diri. Kita perlukan mereka untuk tindakan di mahkamah (pendakwaan).

"Kita syak mereka berada di luar negara tapi kita tidak boleh kongsikan di mana. Kita akan minta kerjasama polis dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk bekukan pasport mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 27 Bil 2/2022 (Penguasa P41) di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Sri Ahmad Khusairi Yahaya dan Timbalan Pengarah Kanan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Mohd Zulhainan Mohd Isa.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan SPRM mengesan dua lelaki tempatan bagi siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

SPRM dalam kenyataannya sebelum ini memaklumkan individu pertama, Muhammad Adlan Berhan, 48, mempunyai alamat terakhir di Sunway Kiara Hills, Jalan 32/70A Desa Sri Hartamas.

Individu kedua pula adalah Mansoor Saat, 69, beralamat terakhir di Jalan SS19/1C Subang Jaya, Selangor.

Ditanya sama ada SPRM akan mendapatkan kerjasama Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mengesan kedua-dua suspek, Azam berkata, tindakan itu akan dibuat sekiranya mereka gagal menyerahkan diri.

Katanya, pihaknya akan meminta mereka itu dimasukkan dalam senarai merah untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 10:51 AM