SPRM kesan dua lelaki tempatan berhubung siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian. FOTO Ihsan SPRM.
SPRM kesan dua lelaki tempatan berhubung siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian. FOTO Ihsan SPRM.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Dua individu sedang dikesan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian dipercayai menyeleweng dana kutipan caj Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang dibayar kerajaan kepada sebuah syarikat.

Sumber berkata, dana berkenaan berjumlah jutaan ringgit sepatutnya dibayar kepada pemegang sukuk tetapi diseleweng individu terbabit untuk kepentingan diri.

"Pihak syarikat secara diam menukar akaun bank untuk penerimaan bayaran. Akaun asal dikawal oleh pemegang sukuk dan suspek tidak boleh mengeluarkan wang tanpa persetujuan pemegang sukuk.

"Melalui penukaran akaun bank, kedua-dua individu berkenaan dapat mengeluarkan wang sesuka hati mereka," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sumber sama turut mendedahkan dana yang diseleweng membabitkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu dianggarkan berjumlah kira-kira RM10 juta.

"Kesalahan itu dilakukan pada Ogos hingga September tahun lalu. Tiada aset (mereka) dirampas kerana semua wang diseleweng sudah dibelanjakan," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan SPRM mengesan dua lelaki tempatan bagi siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

SPRM menerusi kenyataan media memaklumkan pihaknya cuba menghubungi dua lelaki itu secara terus dan menerusi peguam, namun kedua-duanya enggan memberi kerjasama.

Menurutnya, semakan rekod mendapati dua individu itu meninggalkan Malaysia masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei lalu dan tiada rekod kembali.

Individu pertama adalah Muhammad Adlan Berhan, 48, mempunyai alamat terakhir di Sunway Kiara Hills, Jalan 32/70A Desa Sri Hartamas, di sini.

Individu kedua pula adalah Mansoor Saat, 69, beralamat terakhir di Jalan SS19/1C Subang Jaya, Selangor.

Datuk Muhammad Adlan adalah menantu kepada bekas perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), manakala Mansoor adalah seorang peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 4:28 PM