POPULARITI tidak membuatkan Remy berasa selesa.
POPULARITI tidak membuatkan Remy berasa selesa.
Zaara Talita


HAMPIR 20 tahun bergelar pelakon, jolokan Hero Malaya juga sudah sebati dengan Remy Ishak.

Memulakan langkah menerusi filem Anak Halal arahan Osman Ali, pelakon kelahiran Melaka ini sebenarnya menyimpan cita-cita ingin menjadi penyanyi.

"Dulu di kampung saya mempunyai band yang sering bermain di majlis-majlis tertentu. Saya memang menyimpan cita-cita menjadi 'rockstar'.

"Impian saya sebenarnya hendak menghasilkan album dan menjadi artis rakaman. Jadi, saya memulakan langkah ke Kuala Lumpur untuk mengkaji industri seni.

"Ketika tiba di Kuala Lumpur pada 1998, saya terbaca berita di surat khabar mengenai penyanyi sukar hendak menjual album dan sebagainya," katanya.

Dan, hari ini, rezeki Remy nampaknya bukan dalam bidang nyanyian, tetapi adalah lakonan yang mana dia berjaya membina tapak yang kukuh.

Remy mengakui jalan yang dilalui untuk berada pada tahap hari ini bukanlah mudah.

Selain kesungguhan, bapa kepada seorang anak ini juga berpegang pada peribahasa rezeki tidak pernah salah alamat.

"Semangat hendak menjadi bintang itu sentiasa ada dalam diri. Biarpun ketika itu bekerja dalam bidang perkhidmatan makanan, namun saya tetap menghadiri uji bakat.

PERNAH menyimpan cita-cita untuk menjadi ‘rockstar’
PERNAH menyimpan cita-cita untuk menjadi ‘rockstar’

"Mungkin dari uji bakat berlakon itu, saya akan mengenali orang dalam industri tapi lama-lama dah melekat, seronok pula berlakon. Namun ketika itu, mana ada platform sosial media seperti sekarang.

"Saya turun naik bas, kena tolak dengan pihak produksi kerana wajah saya terlalu Melayu pada ketika itu yang mana industri memilih wajah kacukan atau Pan Asian," katanya.

Remy berkata, dia berterima kasih kepada pengarah, Osman Ali kerana memberinya peluang. Osman adalah pengarah terawal yang memberinya tawaran untuk menjadi pelakon.

Remy mula menjadi kegilaan dan buruan peminat apabila drama bersiri Nur Kasih mencipta fenomena pada 2009.

Dalam pada itu, Remy mengimbas kembali kenangan lalu sehingga tidak mampu membayar sewa rumah, tempoh berkenaan menjadikan dirinya lebih cekal dan tabah.

"Pernah ikat perut selama tiga bulan yang mana makan pun sekadar cukup makan saja. Sehinggakan sewa rumah pun tak mampu hendak bayar.

"Seperti semua sedia maklum, bekerja dalam bidang ini sebagai 'freelancer', apabila ada kerja maka ada gaji. Hendak menjayakan watak dan karakter korporat pun tidak mampu beli baju sehingga terpaksa pinjam kawan.

BELUM puas dengan kepelbagaian watak.
BELUM puas dengan kepelbagaian watak.

"Pernah juga mak di kampung telefon minta wang hendak beli dedak buat ayam dan itik di kampung. Boleh dikatakan tiga tahun juga saya 'struggle'," katanya.

Berkongsi mengenai perkembangan kerjaya, Remy berkata, dia sedar dia sudah jatuh cinta dengan dunia lakonan dan sudah tidak melihat jalan keluar daripadanya.

Terbaru, Remy tampil sebagai salah seorang teraju dalam filem aksi heist, The Experts terbitan Astro Shaw bersama ZAK Capital dan TGV Pictures.

Filem arahan Andre Chiew bersama Nazim Shah itu turut menampilkan Datuk Aaron Aziz, Syafiq Kyle, Mimi Lana dan Ray Dapdap sebagai lima beradik yang membuat perancangan terbesar untuk merompak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 6:30 AM