ANTARA ‘mangsa’ Blockout 2024.
ANTARA ‘mangsa’ Blockout 2024.
Syafil Syazwan Jefri

MEERQEEN, 23, tidak pernah mengabaikan sokongannya terhadap rakyat Palestin walaupun disenaraikan dalam gerakan Blockout 2024.

Meerqeen atau nama sebenarnya Muhammad Shameer Shauqeen Saiful Izam berkata, dia sudah mula bersuara dan berkongsi maklumat mengenai penindasan terhadap rakyat Palestin sejak 2022 lagi di platform Twitter (kini X).

"Mungkin siapa yang tak ikut saya, tak tahu apa saya buat selama ini. Saya tetap menyokong Palestin dan beri sumbangan kepada penduduk di sana. Buat apa saya hendak menunjuk perkara itu kepada umum.

"Kadang-kadang sebagai manusia kita sibuk dengan kerja dan tak tengok telefon sangat. Tapi, pengikut saya tahu apa pegangan saya dalam isu ini.

"Sejak 2022, saya dah mula bersuara mengenai isu Palestin dan selalu berkongsi di media sosial. Saya juga menyumbang untuk saudara kita di Palestin," katanya.

Meerqeen ketika ditemui di sidang media drama Cinta Untuk Sekali Lagi dan Bunga Salju berkata, walaupun tidak menghebahkan kepada umum, dia tahu apa yang dilakukannya bagi membantu rakyat Palestin di samping meneruskan urusan hariannya.

"Kita rakyat Malaysia perlu sokong Palestin dan pada saya, tiada Melayu Islam yang menyokong Israel. Saya minta maaf sekiranya perkara ini membuatkan segelintir pihak tidak senang.

"Saya fokus kepada kerja dan tak mahu ada perkara lain mengganggu prestasi saya. Saya memilih untuk teruskan seperti biasa, saya tahu apa tindakan saya untuk saudara di sana," katanya.

Meerqeen juga turut menggalakkan masyarakat untuk memperuntukkan sebahagian rezeki yang kita ada bagi disumbangkan kepada rakyat Palestin.

"Nasihat saya kepada sesiapa yang ada duit lebih, sebaiknya kalian sumbanglah kepada Palestin kerana bila ada duit lebih saya juga akan asingkan untuk Palestin.

"Saya tak mahu cakap banyak mengenai perkara itu kerana ia antara saya dan keluarga," katanya.

Ditanya mengenai kontrak dengan jenama pro-Israel membabitkannya, Meerqeen dan pihak pengurusannya masih dalam perbincangan memandangkan ada beberapa perjanjian yang perlu diteliti dan dipatuhi.

"Kontrak masih dalam perbincangan dengan pihak pengurusan kerana ada beberapa kontrak yang saya masih tengok lagi," katanya.

Terdahulu, nama Meerqeen terpalit kontroversi apabila disenaraikan dalam senarai gerakan Blockout 2024 yang dianggap tidak bersuara dan menyokong produk pro-Israel.

Selain Meerqeen, antara nama selebriti lain yang tersenarai adalah Nadhir Nasar, Nabila Razali, Daiyan Trisha, Mira Filzah, Siti Saleha, Neelofa, Awal Ashaari, Scha Alyahya dan ramai lagi.

Sementara itu, Meerqeen kini membintangi drama bersiri Cinta Untuk Sekali Lagi dan memegang watak sebagai Idlan Zuhairi.

"Cerita ini adalah adaptasi daripada novel dan mengisahkan percintaan antara seorang peguam dan guru. Idlan adalah satu watak berbeza yang pernah saya bawakan kerana dia adalah seorang peguam," katanya.

Berkongsi mengenai cabaran dalam menjayakan watak itu, Meerqeen berkata, dia perlu banyak menghafal dan meneliti.

"Jadi, cabarannya adalah saya perlu belajar selok-belok perwatakan seorang peguam dari segi tutur kata dan gerak-geri saat melantunkan dialog.

"Kemudian, saya perlu menghafal juga beberapa terma dan skrip saya pun bukan satu atau dua muka surat, tetapi lebih banyak. Jadi, saya rasa itu antara cabaran besar buat saya," katanya.

Cinta Untuk Sekali Lagi arahan Hadith Omar turut membariskan pelakon seperti Erysha Emyra, Nina Juren, Ozlynn Waty, Haidar Hasanudin, Malle Christian, Nik Rifaie dan juara Hero Remaja 2023, Aiman Ameer.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 6:25 AM