MET Gala 2024 di New York yang dikecam netizen kerana tidak peka dengan isu kemanusiaan. FOTO AFP
MET Gala 2024 di New York yang dikecam netizen kerana tidak peka dengan isu kemanusiaan. FOTO AFP
Syah Rul Aswari Abdullah


Baru-baru ini, netizen di seluruh dunia memulakan kempen Blockout 2024. Ia juga dirujuk sebagai Operation Blockout atau Celebrity Block Party, menyasarkan tokoh berprofil tinggi yang dianggap tidak menggunakan status, populariti dan platform mereka untuk bercakap mengenai perang Israel-Hamas dan krisis kemanusiaan yang lebih meluas.

Blockout 2024 bermula pada 6 Mei apabila selebriti berpengaruh dalam dunia hiburan, terutamanya bintang Hollywood, model, pereka fesyen menghadiri Met Gala 2024. Ia acara paling gah dalam dunia fesyen di Amerika Syarikat yang diadakan pada Isnin pertama Mei setiap tahun untuk mengumpul dana bagi Muzium Seni Metropolitan, New York.

Ironinya, ketika tumpuan dunia tertumpu kepada majlis penuh glamor yang mana harga tiket untuk seorang berharga AS$75,000 (kira-kira RM351,000) dan harga untuk satu meja mencecah AS$350,000 (kira-kira RM1.64 juta), Israel pula, pada tarikh sama, mula mengarahkan penduduk timur Rafah ke 'lokasi selamat' untuk memulakan operasi di selatan Gaza itu.

Berbanding Anugerah Akademi yang memperlihatkan ada selebriti memakai riben untuk menyokong gesaan gencatan senjata di Gaza atau Anugerah Grammy apabila ada persembahan menggabungkan pemuzik Palestin dan Israel, hampir tiada selebriti yang hadir pada Met Gala 2024 menunjukkan apa jua simbol yang menunjukkan simpati dan empati kepada apa yang berlaku di negara Timur Tengah itu.

Apa yang lebih mencuri perhatian adalah tindakan pempengaruh Haley Kalil memuat naik video di TikTok menunjukkan dirinya memakai gaun gaya abad ke-18 yang mewah dan hiasan kepala, dengan audio daripada filem arahan Sofia Coppola pada 2006, Marie Antoinette, apabila Kirsten Dunst berkata: "Biar mereka makan kek!" Video sebelum acara itu sudah dipadamkan dari media sosial, namun sudah cukup menimbulkan rasa kurang senang ramai pihak.

Netizen mula mempersoalkan bahawa acara ini seakan tone deaf, tidak langsung mengambil kira situasi kemanusiaan di Gaza. Antaranya, seorang pencipta kandungan di TikTok, @ladyfromtheoutside, yang menggesa supaya netizen 'menyekat' selebriti yang berdiam diri mengenai krisis kemanusiaan ini. Video gesaan ini ditonton sehingga 2.5 juta dan melonjakkan kempen Blackout 2024. Ia turut menyaksikan tanda pagar seperti #letthemeatcake, #celebrityblocklist dan #blockout, trending di TikTok.

Penyokong gerakan ini menilai tindakan dan kata-kata 'selebriti gred A' untuk memutuskan sama ada mereka bertindak balas secukupnya terhadap konflik di Gaza. Jika mereka tidak berkata apa-apa atau menunjukkan apa yang dikatakan 'tidak cukup reaksi', gerakan ini menggesa supaya netizen menyekat selebriti itu di media sosial.

Penyokong Blackout 2024 berpendapat bahawa 'sekatan' lebih efektif daripada 'nyahikut.' Ini kerana selebriti terutamanya pempengaruh mahukan jumlah pengikut yang tinggi kerana ia penting untuk jenama, memberi isyarat kepada pengaruh mereka sekali gus menarik potensi pengiklan. Jika hanya 'nyahikut', media sosial masih boleh menyasarkan iklan kepada seseorang pengguna, namun situasi ini tidak berlaku jika netizen menggunakan butang 'sekat'.

Antara nama utama dalam kempen ini adalah tiga selebriti yang hadir pada Met Gala 2024, iaitu Zendaya, Kim Kardashian dan Kylie Jenner. Namun, gerakan ini diperluas apabila menyasarkan selebriti yang bukan tetamu acara fesyen ini termasuk Justin Bieber, Taylor Swift dan Selena Gomez.

Setakat ini, tiada data khusus untuk menunjukkan keberkesanan kempen ini atau sama ada ia hanya 'trend kilat'. Namun, beberapa bintang dalam 'senarai sekatan' yang diedarkan secara meluas, termasuk Lizzo dan pempengaruh Chris Olsen, mula menyiarkan video awam pertama untuk meminta pengikut menderma bagi menyokong organisasi bantuan yang berkhidmat untuk rakyat Palestin.

Ada juga mendakwa Blackout 2024 tidak memberi kesan kepada selebriti dengan ratusan jutaan pengikut di Instagram, sebaliknya dilihat lebih memberi kesan kepada pempengaruh tempatan. Namun, setidak-tidaknya, kempen ini memberi mesej jelas bahawa dunia tidak bersetuju dengan tindakan selebriti antarabangsa ini yang mengambil sikap mengunci mulut dalam isu kemanusiaan. Ia terutama ketika angka korban di Gaza sudah melebihi 35,000 orang.


Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 6:00 AM