TERUS bahagia dengan Amar.
TERUS bahagia dengan Amar.
Ramlah Zainal


ISU boikot artis bermasalah dalam industri seni tanah air turut mendapat perhatian pelakon dan pengacara, Amyra Rosli.

Bagi Amyra atau nama sebenarnya, Nur Amira Izzati Rosli, 33, dia tidak ada masalah dan terbuka untuk bekerja dengan sesiapapun.

"Isu boikot oleh produksi membabitkan artis bermasalah di luar bidang kuasa saya. Saya bukan bekerja dengan pelakon itu (artis bermasalah) saja sebaliknya ada pengarah dan kru di lokasi penggambaran.

"Sepatutnya, saya digandingkan dengan Aliff Aziz dalam drama bersiri Bunga Salju tetapi akhirnya digantikan dengan Hisyam Hamid.

"Bila diberitahu penerbit akan digandingkan dengan Aliff, saya setuju kerana sudah diberitahu lebih awal. Saya juga pernah muncul dalam video klip Aliff sebelum ini.

"Sebagai pelakon, saya hanya buat kerja sendiri saja dan tidak campur dalam masalah peribadi seseorang pelakon itu," katanya.

Mengenai karier lakonan, kata pengacara Nona ini, dia bersyukur kerana semua pelakon dan hero yang digandingkan dengannya menghormati dirinya yang sudah berhijab.

"Semua pelakon yang nak ganding dengan saya akan tanya dulu mengenai babak bersentuhan dalam lakonan.

"Suami tidak pernah letak syarat tapi saya sendiri berusaha untuk menjaga batas dan mengelakkan babak bersentuhan dalam lakonan.

"Contohnya, dalam drama Bunga Salju, saya terpaksa pegang Hisyam yang lakonkan watak Azizi yang juga penghidap autisme dengan berlapik ketika menenangkannya yang mengamuk dalam salah satu babak," katanya.

TAK campur masalah peribadi artis lain.
TAK campur masalah peribadi artis lain.

Berkongsi drama Bunga Salju pula, kata Amyra, dia melakonkan watak heroin iaitu Qaisara dalam drama bersiri 40 episod terbitan MIG Pictures untuk saluran Astro Ria itu.

Drama bersiri arahan Ejump Mohd itu menampilkan gandingan Amyra dan Hisyam Hamid selaku teraju utamanya.

Ia turut menampilkan barisan pelakon seperti Hariz Hamdan, Zul Huzaimy, Zarina Zainoordin dan Syad Mutalib.

Beralih sisi peribadinya pula, Amyra berkata, dia bersyukur dengan kebahagiaan rumah tangga yang dibina bersama suaminya, pelakon Amar Baharin sejak tujuh tahun lalu.

"Alhamdulillah, rumah tangga kami dilengkapkan dengan kehadiran dua cahaya mata yang mengukuhkan lagi kebahagiaan dikecapi ketika ini.

"Kami sama-sama terbabit dalam bidang seni dan penting untuk kami bahagikan masa berkualiti untuk bersama anak-anak.

"Bila saya sibuk dengan penggambaran, Amar turut membantu untuk menjaga anak-anak di rumah.

"Maklumlah, selain lakonan, Amar juga sibuk dengan aktiviti sukan berbasikal yang diceburinya termasuk memasuki pertandingan," katanya.

Mereka berkahwin pada 2016 dan hasil perkongsian hidup dikurniakan dua cahaya mata iaitu Aqqef Anaqi dan Ayra Aryssa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 6:20 AM