GAMBAR HIASAn
GAMBAR HIASAn
Datuk Mohd Ajib Ismail

budaya membaca adalah wahana yang menghubungkan manusia dengan ilmu dan amal. Seorang sarjana dan pemikir Islam terkemuka iaitu Ali Syariati menggunakan istilah Rausyan Fikr bagi menggambarkan tentang kepentingan fungsi dan peranan ilmu serta amal dalam membangun tamadun dan peradaban manusia. Seseorang individu yang mempunyai ciri-ciri Rausyan Fikr atau Ulul-Albab mestilah menguasai ilmu pengetahuan, mengambil iktibar daripada peristiwa sejarah dan kejadian alam dengan mengkaji fakta penting yang terkandung di dalamnya bagi menggerakkan agenda perubahan dalam masyarakat.

Amalan membaca berupaya membentuk pemikiran yang ilmiah dan saintifik sekali gus menghidupkan tradisi keilmuan yang menyeimbangkan akal fikiran dan pedoman wahyu. Umat Islam akan mencapai kejayaan apabila dapat mengembangkan budaya membaca dan berfikir dalam kehidupan. Firman Allah SWT dalam surah Sod ayat 29 yang bermaksud: "(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), Kitab yang banyak faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar."

Dengan membaca dan merenungkan ayat-ayat al-Quran, umat Islam dapat meningkatkan penghayatan tentang agama serta memahami perintah dan larangan Allah SWT untuk dipraktikkan dalam kehidupan. Amalan tersebut bukan sahaja menguatkan spiritual dan mendekatkan hubungan hamba dengan Allah SWT tetapi menunjuk jalan untuk bermuamalah sesama insan. Justeru amalan membaca dan mengunjungi khutub khanah untuk menelaah kitab dan khazanah ilmu wajar dijadikan sebagai rutin kebiasaan lebih-lebih lagi dalam kehidupan seorang Muslim. 

Kajian Profil Membaca yang dilakukan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mendapati kadar pembacaan dalam kalangan rakyat Malaysia semakin meningkat. Hasil kajian menunjukkan peningkatan ketara iaitu daripada dua naskah buku setahun pada 2005 kepada 15 naskah buku setahun pada 2014. Sementara itu, bagi tempoh 2022 hingga 2023, naskah yang dibaca meningkat kepada 24 naskah setahun. Pelbagai program dilaksanakan termasuk program U-Pustaka yang menawarkan 22 pengkalan data yang menawarkan lebih 900,000 judul koleksi digital yang boleh diakses setiap hari menerusi E-Buku, E-Corner, E-Suratkhabar, E-Pembelajaran, E-Komik dan memperkasakan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) serta pemberian baucar untuk membeli buku. Trend terkini juga menunjukkan bahawa amalan membaca bukan sahaja terhad kepada sumber bacaan fizikal tetapi termasuk bahan-bahan digital yang dibaca di pelbagai platform peranti mudah alih seiring dengan perkembangan teknologi.

Semua pihak sama ada agensi kerajaan, swasta dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) harus merancang pelbagai inisiatif sebagai usaha untuk meningkatkan budaya membaca dalam kalangan warga negara. Sebagai contoh Kempen Jom Membaca 10 Minit yang dianjurkan secara serentak di seluruh negara mendapat perhatian dan komitmen pelbagai pihak untuk mendorong budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia. Suatu pendekatan baharu yang lebih mantap dan segar perlu dirangka bagi menarik lebih ramai masyarakat untuk mencintai dunia pembacaan sekali gus membugar budaya ilmu dalam kehidupan. Program tadabur al-Quran yang mengangkat topik dan tema tertentu yang dianjurkan oleh beberapa pihak misalnya merupakan salah satu pendekatan menyubur minat menelaah isi kandungan al-Quran untuk diamalkan dalam kehidupan. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis daripada Abu Umamah RA: Maksudnya: "Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada Hari Kiamat sebagai syafaat kepada para pembacanya." (Riwayat Muslim)

YAB Perdana Menteri juga menunjukkan teladan yang baik dalam usaha membudayakan tabiat membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia. Beliau sering dilihat meluangkan masa membaca buku genre tertentu sewaktu dalam perjalanan melaksanakan tugasan rasmi ke sesuatu lokasi. Bahkan beliau menegaskan bahawa jika mahu menjadi manusia dan insan yang mencapai darjat karamah insaniah iaitu yang mempunyai nilai, akhlak dan ilmu, mestilah dimulakan dengan tradisi membaca.

Budaya membaca dapat merealisasikan keenam-enam prinsip Madani yang digagaskan oleh Perdana Menteri iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan bagi mendokong agenda pembangunan masyarakat. Dalam konteks Pelan Transformasi Al-Falah yang dibangunkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), langkah yang sama digariskan di bawah teras pertama iaitu Pentadbiran Islam Mampan melalui cadangan penubuhan Perpustakaan Awam Islam (Bayt al-Hikmah), Pelan Promosi dan Komunikasi Pemasaran Bersepadu Bahan Ilmiah Islam serta Pembangunan Aplikasi Dar al-Ilmi iaitu sistem dan direktori bahan-bahan ilmiah hal ehwal Islam. Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) komited untuk memantapkan bidang penyelidikan dan persuratan Islam dengan menyemarakkan penyelidikan ilmiah dan persuratan Islam menerusi pengukuhan program kajian, persidangan dan penerbitan ke arah melahirkan masyarakat Malaysia yang berbudaya ilmu dan berbudi tinggi. Institusi masjid dan surau juga boleh memainkan peranan dengan menyediakan sudut bacaan atau perpustakaan mini untuk menempatkan koleksi bahan bacaan yang boleh dimanfaatkan oleh ahli kariah daripada pelbagai peringkat usia sebagaimana digariskan di bawah Pelan Pengimarahan Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan 2021-2024.

Budaya membaca mesti dimulakan dengan diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Di Wilayah Persekutuan, persekitaran budaya ilmu dan membaca dihidupkan melalui pelbagai program keilmuan dan pengimarahan di institusi masjid dan surau. Di Masjid Wilayah Persekutuan, program pengajian Jilsah Ulama diadakan bertujuan menyemarakkan kembali tradisi ilmu berasaskan kitab-kitab turath seperti kitab Minhaj Al-Talibin karya Imam Al-Nawawi. Penerbitan semula kitab-kitab lama sebagai rujukan kelas-kelas pengajian di masjid wajar diusahakan misalnya Kitab Matla' al-Badrain yang pernah dirumikan dan diterbitkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi). Buku tersebut disusun semula dengan bahasa yang moden dan mudah supaya lebih senang difahami. Semua inisiatif yang dilakukan bagi melahirkan generasi celik ilmu sekali gus menjayakan agenda islah yang didambakan.

Sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024, agensi-agensi agama di bawah pentadbiran YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) buat julung-julung kali mengambil inisiatif untuk bergabung di bawah satu bumbung yang dinamakan Pavilion Al-Falah bertemakan Bersama Mencapai Kejayaan. Ruang tersebut bukan sahaja menyediakan jualan buku-buku bertemakan hal ehwal Islam yang bermutu tinggi tetapi juga menawarkan kaunter pameran dan aktiviti interaktif bagi menyampaikan fungsi dan peranan setiap agensi agama dengan lebih dekat kepada para pengunjung. Pendekatan terbaharu ini mencerminkan kesungguhan dan komitmen institusi Islam untuk menawarkan bahan bacaan dan penerbitan berkualiti yang dapat membantu meberikan pencerahan kepada pemikiran ummah.


Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 6:00 AM