SYED Anwar Jamallulail. - Gambar NSTP/GENES GULITAH
SYED Anwar Jamallulail. - Gambar NSTP/GENES GULITAH
BERNAMA

LEMBAGA Zakat Selangor (LZS) meneruskan prestasi cemerlang dengan merekodkan kutipan serta agihan zakat melebihi RM1 bilion pada 2023, sekali gus menambah baik kehidupan lebih 350,000 penerima zakat di negeri itu.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail berkata, untuk agihan zakat bagi tahun berakhir 31 Disember 2023, LZS mengagihkan sebanyak RM1.15 bilion iaitu peningkatan sebanyak 9.7 peratus berbanding RM1.05 bilion pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata, daripada jumlah agihan itu, sebanyak 70,600 keluarga di bawah asnaf fakir dan miskin serta individu mualaf adalah penerima paling ramai.

"Jumlah agihan itu hasil daripada kutipan zakat sebanyak RM1.12 bilion dalam tempoh yang sama, iaitu peningkatan sebanyak 4.8 peratus berbanding RM1.07 bilion yang dicatatkan pada 2022.

"Peningkatan berterusan agihan zakat pada 2023 juga disokong 60,776 pembayar zakat baharu, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pembayar zakat seramai 398,184 orang," katanya pada sidang media di sini, baru-baru ini.

Pada majlis itu, Syed Anwar turut melancarkan Laporan Kelestarian LZS 2023, laporan pertama seumpamanya dikeluarkan oleh institusi zakat, antara lain sebagai panduan kepada lembaga itu dalam meningkatkan taraf hidup komuniti asnaf, menegakkan amanah dan integriti, memupuk bakat serta melindungi alam sekitar.

Mengulas lanjut, Syed Anwar berkata, LZS mengagihkan zakat lebih daripada RM11 bilion sejak penubuhannya pada 1994, yang mana untuk 2023 sahaja, agihan itu membantu lebih 3,600 keluarga asnaf keluar daripada belenggu kemiskinan, iaitu peningkatan sebanyak 95 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Beliau berkata, peningkatan signifikan kutipan zakat dibantu oleh penyediaan saluran pembayaran yang pelbagai termasuk secara digital yang menyaksikan zakat pendapatan adalah jenis zakat tertinggi dikutip iaitu RM663 juta, manakala saluran kutipan utama adalah melalui potongan gaji membabitkan RM372 juta.

Dalam mendepani cabaran semasa, Syed Anwar berkata, LZS turut meningkatkan kecekapan operasi yang menyaksikan hampir 100 peratus penerima bantuan zakat di Selangor menerima bantuan menerusi kaedah pembayaran tanpa tunai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 6:16 AM