DR Muhamad Akmal menyampaikan ucapan beliau ketika perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda Umno Malaysia 2023. FOTO Asyraf Hamzah.
DR Muhamad Akmal menyampaikan ucapan beliau ketika perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda Umno Malaysia 2023. FOTO Asyraf Hamzah.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Pemuda Umno menegaskan mereka kekal dengan pendirian agar DAP digesa membuat permohonan maaf atas segala tohmahan yang pernah dilemparkan kepada parti itu.

Ketuanya Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, gesaan dibuat sayap itu adalah muktamad dan pihaknya tidak akan menariknya.

"Kenyataan yang telah kita buat pagi tadi tidak sama sekali kita akan tarik. Itu muktamad.

"Biarlah orang kata kita langau, biarlah orang kata kita biadap, yang penting kita tahu kita bawa suara rakyat di bawah ini.

"Kita tak gentar dengan apapun yang akan berlaku di depan, selagi mana kita membawa suara keramat akar umbi Umno," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Dr Muhamad Akmal sebelum ini menggesa agar DAP membuat permohonan maaf segera atas segala tohmahan yang pernah dilemparkan kepada Umno sepanjang kedua-dua parti bermusuhan sebelum ini.

Bagaimanapun, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kemudian menegaskan gesaan sayap pemuda parti itu yang menuntut DAP meminta maaf sepatutnya tidak perlu timbul kerana kedua-dua parti mempunyai persetujuan bersama sewaktu pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal berkata, disebabkan sayangkan kepada parti, mereka bersuara perkara yang betul.

"Jadi jangan halang kami nak bersuara. Kami nak bersuara sebab kami sayang. Kami tinggalkan 'orang rumah' dekat rumah, kami sanggup ambil cuti, kami sanggup duduk (sehingga) ada yang tak makan hari ini lagi.

"Sebab kita sayang parti ini. Jadi, bila pemuda bersuara, inilah suara akar umbi dari bawah," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau itu turut menggesa agar Pemuda Umno tidak berasa apologetik.

"Pemuda di hadapan saya, jangan pernah rasa apologetik. Keluar dari dewan ini kita patut berbangga kerana kitalah yang membawa suara di akar umbi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 8:01 PM