ASYRAF Wajdi pada sidang media ketika Majlis Berbuka Puasa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
ASYRAF Wajdi pada sidang media ketika Majlis Berbuka Puasa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kenyataan dikeluarkan oleh Pemuda Umno berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah oleh KK Super Mart adalah pendirian parti, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Asyraf Wajdi berkata demikian mengulas mengenai tiadanya 'suara' pemimpin lain yang bersuara mengenai isu terbabit.

Menurutnya, seluruh ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menyokong penuh pendirian dibuat oleh Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh.

"Berkenaan isu kalimah Allah di stoking itu dibincangkan juga dalam (mesyuarat) MKT dan MKT sebulat suara menyokong penuh pendirian Pemuda Umno dalam isu tersebut," katanya pada sidang medianya di Menara Dato' Onn, hari ini.

Sebelum ini, Dr Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau dan Exco Melaka menggerakkan kempen memboikot kedai serbaneka KK Super Mart susulan penjualan stoking tertera kalimah Allah.

Langkah itu dilihat mendapat reaksi beberapa pemimpin DAP termasuk Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Dr Muhamad Akmal turut dilaporkan tidak berganjak dengan desakan rakan sekutu dalam Kerajaan Perpaduan itu untuk tidak memboikot KK Super Mart berhubung kontroversi stoking terbabit.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, kontroversi stoking ini juga tidak menjejaskan hubungan antara parti dan menteri dalam Kerajaan Perpaduan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, Umno juga kekal teguh dengan pendirian dalam mempertahankan kesucian agama Islam dan ia matlamat perjuangan parti itu.

Asyraf Wajdi berkata, dalam membentuk Kerajaan Perpaduan, Umno meletakkan empat syarat penting dan sebanyak dua perjanjian ditandatangani.

"Dua perjanjian yang ditandatangani dalam membentuk Kerajaan Perpaduan. Satu perjanjian dalam memulakan perundingan, dan satu lagi perjanjian dalam membentuk Kerajaan Perpaduan," katanya.

Menurutnya, antara syarat-syarat itu ialah tidak meremehkan apa jua terkait dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, kepentingan dan keistimewaan Melayu Bumiputera, kedaulatan Raja-raja Melayu serta Bahasa Melayu.

"Ini empat teras akar utama yang menjadi syarat kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan.

"Saya kira setakat hari ini pemimpin-pemimpin parti dalam Kerajaan Perpaduan dan Menteri-Menteri Kabinet juga menghormati perjanjian tersebut. Jadi tak ada masalah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2024 @ 6:33 PM