Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan gesaan sayap Pemuda parti itu yang menuntut DAP meminta maaf sepatutnya tidak perlu timbul kerana kedua-dua parti mempunyai persetujuan bersama sewaktu pembentukan Kerajaan Perpaduan.

"Perkara itu tak perlu timbul lagi kerana mereka telah menyatakan perkara ini beberapa kali. Malah dalam perundingan kita untuk membentuk kerajaan ini pun, perkara itu menjadi syarat utama bagi kita dan mereka bersetuju 100 peratus.

"Tidak perlu kita ulangi perkara yang telah mereka persetujui," katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas gesaan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh yang menggesa DAP membuat permohonan maaf segera atas segala tohmahan yang pernah dilemparkan sepanjang kedua-dua parti bermusuhan sebelum ini.

Muhamad Akmal berkata, permohonan maaf itu perlu dibuat sekiranya mahu melembutkan hati orang UMNO terutama ketika berhadapan pilihan raya akan datang.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut melahirkan keyakinan hubungan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mula membentuk keserasian bersama.

Bagaimanapun katanya, di peringkat akar umbi parti, UMNO perlu mempunyai kaedah tersendiri untuk meyakinkan ahli mereka.

"Hakikatnya kebersamaan BN dan PH terbentuk dengan keserasian semakin bertambah, mungkin di akar umbi ada kaedah tertentu lakukan penjelasan," katanya.

DATUK Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir ke sidang media Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL). FOTO Aziah Azmee
DATUK Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir ke sidang media Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL). FOTO Aziah Azmee

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 2:46 PM