PERWAKILAN Pemuda bersorak Hidup Umno ketika Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda Umno Malaysia 2023. FOTO Asyraf Hamzah
PERWAKILAN Pemuda bersorak Hidup Umno ketika Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda Umno Malaysia 2023. FOTO Asyraf Hamzah
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: DAP berpandangan Pemuda Umno perlu melupakan kisah silam dan 'move on' daripada kisah persengketaan serta permusuhan politik antara kedua-dua parti sebelum ini.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, kisah permusuhan dan sentimen masing-masing dipunyai oleh setiap parti, namun sekiranya terus mengungkit kisah itu, ia tidak akan berkesudahan.

"Setiap parti ada. Kalau kita terus mengungkit-ungkit kisah lama, ia tidak akan berkesudahan. Kita telah membentuk kerajaan lebih enam bulan, membincangkan secara persetujuan dan komitmen masing-masing. Dan kita telah pun 'move on' sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan.

"Jadi bagi saya, apa yang dinyatakan oleh Presiden Umno (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) itu amat memadai dan kita akan terus bergerak ke hadapan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas gesaan Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh yang menggesa DAP membuat permohonan maaf segera atas segala tohmahan yang pernah dilemparkan kepada Umno sepanjang kedua-dua parti bermusuhan sebelum ini.

Mengulas lanjut, Loke berkata, sehingga kini, tidak timbul apa-apa isu mengenai ketidakserasian parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan dan mereka seharusnya melangkah ke hadapan.

"Yang penting pada hari ini kita tunjukkan komitmen kita bekerjasama. Saya rasa kita telah noktahkan soal persengketaan, soal permusuhan politik sejak tertubuhnya Kerajaan Perpaduan pada Disember yang lalu.

"Apa yang penting adalah pelbagai cabaran di depan kita. Cabaran politik adalah menang Pilihan Raya Negeri, ekonomi dan pembangunan negara. Macam-macam cabaran yang kita kena tempuhi bersama dan saya rasa semua parti perlu berlapang dada

"Pimpinan parti telah tunjukkan komitmen yang tinggi untuk kita bersama-sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2023 @ 2:13 PM