Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh
Amir Mamat


Melaka: Pemuda Umno akan mengadakan perhimpunan khas bagi mengumpulkan pandangan dalam kalangan pemimpinnya akar umbi mengenai keputusan Pilihan Raya Neger (PRN) Sabtu lalu.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, perhimpunan yang akan diadakan di Pusat Belia Antarabangsa (IYC) di Kuala Lumpur, Khamis ini dijangka dihadiri lebih 1,000 pemimpin Pemuda Umno seluruh negara.

Menurutnya, tujuan utama perhimpunan itu adalah untuk merungkai permasalahan 'senyap' yang masih berlaku dalam Umno sehingga menyebabkan parti mewakili Barisan Nasional (BN) kalah teruk dalam PRN di enam negeri minggu lalu.

"Kita mahu buat `post mortem' terhadap keputusan PRN Sabtu lalu dengan mendengar sendiri suara Pemuda di peringkat akar umbi.

"Sudah pasti, kita akan membawa suara akar umbi itu ke peringkat atasan parti demi perubahan yang lebih baik untuk Umno.

"Tak kiralah jika keputusan post mortem itu mahukan Ketua Pemuda Umno melepaskan jawatan sekali pun, kita akan buat.

"Yang penting, jika itu adalah kehendak rakyat maka kita sebagai pemimpin perlu berani lakukan demi untuk kelangsungan perjuangan parti," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Poster perhimpunan khas Pemuda UMNO, Di Mana Salah Kita yang akan diadakan Khamis ini. Foto sumber FB Akmal Saleh
Poster perhimpunan khas Pemuda UMNO, Di Mana Salah Kita yang akan diadakan Khamis ini. Foto sumber FB Akmal Saleh

Pada PRN Sabtu lalu, BN hanya mampu meraih kemenangan 19 kerusi berbanding 108 kerusi yang ditandingi di enam negeri.

Paling terkesan adalah di Terengganu apabila BN mencatatkan prestasi terburuk selepas kecundang di kesemua 32 DUN ditandinginya.

Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal yang juga Ketua Umno Bahagian Jasin berkata, pihaknya menerima banyak maklum positif daripada ahli Pemuda yang menyatakan minat untuk hadir pada program post mortem berkenaan.

Katanya, memandangkan kapasiti dewan yang terhad, bagi fasa pertama itu pihaknya hanya mengundang pemimpin pemuda yang terpilih ke Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda Umno, Jun lalu atau lebih dikenali sebagai 'G5'.

"Insya-Allah, kita akan anjurkan siri jelajah ke seluruh negara selepas ini supaya sesi bedah siasat ini akan lebih berfokus, sekali gus boleh membabitkan lebih ramai ahli Pemuda hadir.

"Sekarang adalah masa untuk kita berani berubah kepada yang lebih baik (kerana) Umno perlu dikembalikan seperti zaman kegemilangannya satu ketika dahulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2023 @ 12:57 PM