Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memperincikan inisiatif penambahan caruman ke dalam Akaun 1 KWSP yang diumumkan dalam Belanjawan 2023.

Pengurus dana persaraan itu berkata, pihaknya amat mengalu-alukan inisiatif kerajaan itu bagi menggalakkan ahli KWSP yang mempunyai simpanan rendah dan menghampiri usia persaraan untuk menyimpan secara berterusan bagi membantu mempercepatkan pengumpulan simpanan persaraan mereka.

Ia berkata, kerajaan akan memperuntukkan anggaran sebanyak RM1 bilion bagi menyumbang sebanyak RM500 dengan bayaran secara sekali gus kepada lebih kurang dua juta ahli yang berumur antara 40 tahun hingga di bawah 55 tahun dan mempunyai simpanan KWSP sebanyak RM10,000 dan ke bawah dalam Akaun 1 mereka.

"KWSP akan memperincikan inisiatif ini dan pengumuman lanjut mengenai pelaksanaannya akan dibuat dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

KWSP juga berterima kasih kepada kerajaan yang melanjutkan program i-Saraan bagi 2023 dan meningkatkan had maksimum insentif caruman padanan untuk 2023 daripada RM250 kepada RM300 setahun.

Ia berkata, inisiatif itu akan memberi manfaat kepada ahli di bawah i-Saraan yang berada di luar sektor formal termasuk suri rumah dan membantu mempercepatkan keselamatan kewangan mereka untuk persaraan.

Pengurus persaraan itu juga menyambut baik inisiatif perluasan skop pelepasan cukai tahunan bagi premium insurans nyawa atau caruman takaful hayat untuk meliputi caruman sukarela kepada KWSP sehingga RM3,000.

"Inisiatif ini boleh dinikmati oleh semua pekerja sama ada di sektor formal atau tidak formal yang membuat caruman secara sukarela kepada KWSP.

"Ini bermakna, ahli yang mencarum secara wajib (pelepasan cukai sehingga RM4,000) dan menambah simpanan dengan caruman sukarela akan dapat menikmati pelepasan cukai sehingga RM7,000.

"Usaha ini akan dapat menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia meningkatkan simpanan persaraan mereka untuk hari tua," katanya.

KWSP berkata ia juga sedang meningkatkan operasi pelaburannya bagi memastikan Simpanan Syariah dan Simpanan Konvensional dilaburkan secara optimum bagi memberikan pulangan yang kompetitif kepada 15.7 juta ahli KWSP.

Ia berkata, penambahbaikan itu merangkumi pelaksanaan tarikh kuat kuasa yang lebih awal untuk menjadi ahli Simpanan Syariah berbanding polisi semasa yang mana tarikh kuat kuasa adalah secara tahunan.

Sementara itu, mengulas pengumuman Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata Belanjawan 2023 adalah belanjawan yang inklusif dan antara lainnya, ia bertujuan untuk menambah baik sistem perlindungan sosial Malaysia.

Beliau berkata, kerajaan sedang mengambil langkah konkrit untuk membuka ruang kepada lebih banyak pembaharuan selain memperkukuhkan asas pembangunan infrastruktur kesejahteraan sosial yang kukuh.

"Perubahan landskap memperkukuhkan lagi keperluan dan kesegeraan bagi Malaysia untuk bertindak selaras dengan perubahan semasa bagi memelihara keselamatan pendapatan rakyat Malaysia semasa usia tua.

"Beberapa perkara yang dibangkitkan oleh KWSP, terutamanya mengenai simpanan persaraan yang sangat rendah dan kesejahteraan kewangan jangka panjang rakyat Malaysia, juga termasuk dalam belanjawan itu," katanya.

Amir Hamzah berkata, kesejahteraan rakyat Malaysia semasa usia emas mereka kekal menjadi keutamaan dan KWSP akan menyokong pelaksanaan inisiatif ini untuk membolehkan rakyat membina semula simpanan persaraan mereka dengan tujuan untuk membantu mereka mencapai persaraan yang sejahtera.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2023 @ 8:14 PM