FOTO  HIASAN
FOTO HIASAN
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama GoGet Malaysia (GoGet), platform kerja atas permintaan, untuk melindungi kewangan dan menyediakan komuniti pekerja gig, yang dirujuk sebagai 'GoGetters', untuk alam persaraan.

GoGet akan menjadi yang pertama di Malaysia memasukkan ciri caruman KWSP dalam platform GoGet yang bersepadu dan boleh disesuaikan.

Ini adalah sebahagian daripada usaha untuk menggalakkan GoGetters menyumbang kepada simpanan persaraan mereka melalui program caruman sukarela KWSP seperti i-Saraan dan caruman sendiri.

i-Saraan ialah program caruman sukarela yang membolehkan individu di bawah umur 55 tahun dalam ekonomi gig dan yang bekerja sendiri untuk menabung untuk persaraan mereka melalui caruman KWSP.

Di bawah i-Saraan, ahli akan menerima insentif kerajaan sehingga 15 peratus daripada sumbangan tahunan individu, tertakluk kepada had RM250 setahun.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerjasama dengan GoGet adalah sebahagian daripada agenda KWSP untuk memperluas jaringan keselamatan sosial dan liputan kepada mereka yang berada di sektor tidak formal dan pekerja gig.

"GoGetters memberi sumbangan yang besar kepada ekonomi, dan sekiranya mereka dibiarkan tanpa jaringan keselamatan sosial untuk persaraan, ia akan memberikan kesan buruk kepada sosio-ekonomi dalam masa terdekat.

"Pandemik Covid-19 telah banyak mengubah landskap kerja, dan kami melihat peningkatan mendadak dalam bilangan individu yang bekerja sendiri di Malaysia.

"Bagi sesetengah orang, bekerja sendiri boleh menjadi laluan kerjaya yang menarik, namun ia tidak disertakan dengan pelan persaraan tersendiri.

"Di sinilah peranan KWSP menjadi penting kerana kami mahu mereka mendapat sokongan pelan persaraan rasmi untuk jaminan persaraan mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ciri bersepadu dan boleh disesuaikan yang disediakan oleh GoGet untuk caruman KWSP bertujuan menjadikan simpanan lebih lancar dan mudah bagi pekerja gig yang mempunyai akaun KWSP untuk menyimpan melalui platform GoGet. Pekerja gig yang mempunyai akaun KWSP sedia ada hanya perlu memberi kebenaran untuk mengikuti program ini dan menetapkan kadar caruman mereka.

Selain itu, bonus yang GoGetters terima daripada GoGet juga akan menjadi sebahagian daripada pendapatan yang dicarumkan kepada KWSP.

GoGetters dapat melaraskan kadar sumbangan mereka atau menarik diri daripada program pada bila-bila masa.

GoGetters yang bekerja secara sambilan dengan majikan formal; atau mereka yang berumur 55 tahun ke atas, juga digalakkan untuk menyumbang melalui program caruman sendiri, yang terbuka kepada semua individu yang boleh menyumbang pada bila-bila masa sehingga maksimum RM60,000 setahun.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif GoGet, Francesca Chia berkata, mewujudkan platform yang selamat dan dipercayai untuk GoGetters adalah keutamaan pihaknya sejak hari pertam.

"Kami hanya boleh melakukan ini dengan memastikan perlindungan kewangan sebagai salah satu tiang teras kami. Selain daripada menyediakan insurans dan bekerja dengan Perkeso, kami sangat menghargai usahasama ini dengan KWSP," katanya.

Dengan mula menyimpan awal dan konsisten walaupun dengan jumlah yang kecil, GoGetters akan mendapat manfaat daripada kuasa pengkompaunan dividen.

Sebagai contoh, individu yang menyimpan RM50 sebulan selama 30 tahun akan dapat mengumpul simpanan sebanyak RM47,000 selepas 30 tahun, atau lebih daripada dua kali ganda jumlah caruman mereka sebanyak RM18,000, hasil daripada kuasa pengkompaunan dividen.

Jika GoGetters menjimatkan RM140 sebulan, mereka akan dapat memaksimumkan insentif i-Saraan dan mengumpul RM131,000 di sebalik RM50,400 jumlah caruman dalam 30 tahun.

Selain daripada menggalakkan GoGetters mencarum kepada simpanan KWSP mereka, MoU ini juga bertujuan untuk meningkatkan celik kewangan mereka melalui webinar, interaksi bersemuka, dan sesi penglibatan pendidikan lain untuk melengkapkan mereka dengan pengetahuan yang betul dalam membuat pilihan kewangan termaklum.

Amir Hamzah berkata, KWSP berharap dapat menjalankan program yang sesuai untuk GoGetters dan memperkasakan mereka dengan pengetahuan yang betul untuk menyimpan untuk persaraan mereka melalui i-Saraan atau caruman sendiri.

MoU dengan GoGet ini adalah usaha sama kedua yang ditandatangani antara KWSP dan pemain industri dalam sektor tidak formal sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan dan memperluaskan perlindungan sosial kepada mereka yang masih belum terbabit dalam skim KWSP.

Pada September 2021, KWSP telah menandatangani MoU dengan Grab Malaysia untuk tujuan sama.

Pada masa ini, lebih separuh daripada tenaga buruh Malaysia tidak dilindungi untuk jaminan pendapatan persaraan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Februari 2022 @ 12:52 PM