Rakan pemandu dan penghantar Grab kini boleh membuat caruman KWSP melalui skim i-Saraan atau caruman sukarela.
Rakan pemandu dan penghantar Grab kini boleh membuat caruman KWSP melalui skim i-Saraan atau caruman sukarela.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Grab Malaysia (Grab) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menggalakkan komuniti rakan pemandu dan penghantar mereka menabung untuk simpanan persaraan.

Ia boleh dilakukan melalui program i-Saraan bagi ahli berumur bawah 55 tahun atau caruman sukarela bagi individu berusia 55 dan ke atas.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerjasama KWSP dan Grab ini akan meningkatkan kesejahteraan persaraan rakan pemandu dan penghantar mereka.

"Tahniah diucapkan kepada pihak Grab atas komitmen untuk memberi insentif tambahan bagi menggalakkan pekerja menabung untuk persaraan.

"MoU ini juga bertujuan mempromosikan literasi kewangan dalam kalangan rakan pemandu dan penghantar Grab serta kepentingan membuat persediaan persaraan, terutamanya dalam landskap ekonomi mencabar ini di mana semua pihak perlu cakna dengan keadaan kewangan masing-masing.

"Kami berharap komuniti rakan pemandu dan penghantar Grab yang bekerja keras akan mendaftar sebagai ahli KWSP dan membuat simpanan untuk tabung persaraan mereka, sama ada melalui program i-Saraan atau caruman sukarela.

"Ini bukan saja dapat membantu mereka membuat persediaan persaraan, malah mendapat manfaat sebagai ahli KWSP, antaranya dividen tahunan ke atas simpanan, pelepasan cukai, dan bantuan kematian," katanya dalam kenyataan hari ini.

I-Saraan ialah caruman sukarela yang membolehkan individu bekerja dalam ekonomi gig dan juga yang bekerja sendiri menabung untuk simpanan persaraan mereka melalui caruman di KWSP.

Mereka yang mencarum dalam i-Saraan akan menerima insentif kerajaan sebanyak 15 peratus berdasarkan jumlah caruman individu setahun, sehingga maksimum RM250 setahun.

Di bawah program caruman sukarela pula, individu boleh mencarum sendiri pada bila-bila masa sehingga RM60,000 setahun.

Mulai 1 September 2021, Grab akan memberi insentif untuk rakan pemandu dan penghantar berkelayakan seperti yang dinyatakan dalam MoU di mana rakan pemandu dan penghantar berumur bawah 55 tahun yang mencarum melalui program i-Saraan, akan menerima caruman tambahan sebanyak lima peratus sehingga maksimum RM80 setiap tahun.

Bagi rakan pemandu dan penghantar berumur 55 tahun ke atas yang mencarum melalui program caruman sukarela KWSP pula akan menerima caruman tambahan sebanyak 10 peratus sehingga maksimum RM120 setiap tahun.

Manakala, rakan pemandu dan penghantar yang dikenal pasti sebagai orang kurang upaya (OKU) bagi semua peringkat umur yang mencarum melalui i-Saraan atau program caruman sukarela KWSP, akan menerima caruman tambahan sebanyak 10 peratus sehingga maksimum RM120 setiap tahun.

Berdasarkan pengiraan yang dibuat, dengan membuat simpanan awal walaupun pada jumlah yang kecil, rakan pemandu dan penghantar Grab akan mendapat manfaat daripada penggandaan dividen.

Sebagai contoh, melalui penggandaan dividen, individu yang mencarum RM10 sebulan untuk tempoh 30 tahun akan menggandakan simpanan mereka menjadi RM8,220 selepas 30 tahun, atau dua kali ganda daripada jumlah caruman yang dibuat.

Jika rakan pemandu dan penghantar Grab mencarum RM140 sebulan, mereka berpeluang menikmati insentif Grab dan i-Saraan, memberi mereka jumlah terkumpul sebanyak RM114,840 dalam masa 30 tahun.

Sementara itu, Pengarah Urusan Grab Malaysia, Sean Goh berkata, berikutan pandemik Covid-19, terdapat penambahan pendaftaran mendadak bagi rakan pemandu dan penghantar, dengan lebih 50,000 orang menyertai platform ini.

"Mereka bekerja keras setiap hari untuk menampung diri dan keluarga dan ini mendorong kami untuk memberikan yang terbaik.

"Disebabkan itu, kami akan membuat caruman tambahan sebanyak 10 peratus untuk rakan kami yang berumur 55 tahun ke atas yang menyertai skim caruman sukarela dan juga rakan OKU," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 11:47 AM