GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyokong langkah-langkah kerajaan yang dibentangkan dalam Bajet 2022 ke arah menggalakkan pemulihan ekonomi, peningkatan mata pencarian serta memacu peluang pekerjaan, yang memberi ruang kepada rakyat Malaysia untuk membina semula dana persaraan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, langkah untuk melanjutkan kadar caruman berkanun pada sembilan peratus sehingga pertengahan 2022 dijangka memberi kelegaan kepada ahli untuk meningkatkan jumlah gaji yang dibawa pulang dan mengurangkan beban kewangan yang dihadapi.

"KWSP juga menerima baik keputusan kerajaan untuk memperluas had umur bagi menerima insentif i-Saraan kerana ini dapat menggalakkan lebih ramai individu yang bekerja sendiri dan pekerja sektor tidak formal untuk membuat simpanan persaraan dengan KWSP.

"Mereka yang bekerja sendiri dan pekerja gig juga diberi pelepasan cukai sehingga RM4,000 untuk caruman KWSP secara sukarela.

"Ini selaras dengan matlamat KWSP untuk menggalakkan pekerja gig dan sektor tidak formal menyertai skim KWSP bagi menjamin masa depan persaraan mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, KWSP menyambut baik langkah-langkah perlindungan sosial yang diumumkan dalam Bajet 2022 termasuk bantuan insurans, takaful, perubatan serta sokongan yang diberi kepada kanak-kanak dan warga emas.

"Langkah-langkah ini dapat membantu mengatasi kekurangan dalam sistem perlindungan sosial negara bagi golongan masyarakat rentan dalam memastikan mereka mencapai taraf hidup yang minimum walaupun dalam persekitaran yang tidak terduga.

"Memandangkan liputan KWSP merangkumi hampir separuh daripada penduduk Malaysia, KWSP akan terus bekerjasama dengan kerajaan dan agensi berkaitan ke arah mencapai kesejahteraan sosial untuk ahli, serta rakyat Malaysia amnya, melalui pendekatan yang telus, inklusif dan selaras dengan semangat Keluarga Malaysia," katanya.

Dalam pembentangan Bajet 2022 yang bertemakan "Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera" semalam, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan bahawa sumbangan daripada kerajaan sebanyak 15 peratus sehingga jumlah maksimum RM250 untuk setiap ahli secara tahunan untuk i-Saraan, akan diperluaskan kepada individu yang berumur antara 55 hingga 60 tahun.

i-Saraan adalah program caruman sukarela dengan insentif kepada individu yang bekerja sendiri dan pekerja sektor

tidak formal bagi membuat simpanan persaraan.

Sehingga kini, seramai 356,791 orang ahli KWSP telah berdaftar di bawah program berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 8:39 PM