JUMLAH keahlian KWSP keseluruhannya meningkat kepada 15.90 juta.
JUMLAH keahlian KWSP keseluruhannya meningkat kepada 15.90 juta.

Kuala Lumpur: Jumlah ahli aktif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencecah paras tertinggi dalam sejarah sebanyak 8.47 juta ahli pada separuh pertama 2023.

Ia sekali gus menjadikan keahlian KWSP keseluruhannya meningkat kepada 15.90 juta.

Pengurus dana persaraan itu berkata, jumlah ahli aktifnya itu juga kini mewakili 50.2 peratus daripada 16.86 juta tenaga kerja Malaysia.

Jumlah ahli aktif KWSP meningkat 5.8 peratus atau 467,087 kepada 8.47 juta pada separuh pertama 2023 berbanding lapan juta yang dicatatkan pada separuh pertama 2022.

Sementara pendaftaran majikan baharu pula, mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 43,084 dalam tempoh itu, menjadikan jumlah majikan yang berdaftar dengan KWSP kepada 598,871.

"Pertambahan ahli aktif dan majikan menjadikan jumlah caruman diterima meningkat sebanyak RM50.48 bilion pada separuh pertama 2023, naik 16.8 peratus berbanding RM43.23 bilion pada separuh pertama 2022," katanya.

KWSP berkata, pemulihan pasaran pekerjaan di Malaysia dan usaha berterusan untuk menggalakkan ahli mencarum secara sukarela membantu pengurus dana persaraan itu merekodkan nisbah ahli aktif kepada tidak aktif yang lebih baik, naik daripada 52 peratus: 48 peratus pada suku kedua 2022 kepada 53 peratus: 47 peratus pada suku kedua 2023.

Mengulas pencapaian itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, KWSP kekal komited terhadap kesejahteraan masa depan lebih 40 peratus tenaga kerja Malaysia yang masih tidak dilindungi oleh sebarang bentuk perlindungan sosial.

Beliau berkata, memandangkan Malaysia sedang menyaksikan peralihan yang semakin berkembang ke arah tidak formal dan kemunculan ekonomi gig, KWSP menumpukan usaha terhadap memperluaskan liputan dengan menggerakkan pasukan KWSP secara aktif untuk mendaftar lebih ramai rakyat Malaysia dengan KWSP.

"Sehingga Jun 2023, sebanyak 4,429 aktiviti liputan sudah dijalankan," katanya dalam kenyataan.

Kerjasama berterusan KWSP dengan agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri, pertubuhan masyarakat sivil dan pihak berkepentingan lain dalam program perlindungan sosial membantu menggalakkan rakyat Malaysia dari sektor tidak formal untuk mendaftar dengan i-Saraan KWSP.

Program i-Saraan KWSP adalah program caruman sukarela yang dibangunkan khas untuk membolehkan pekerja di sektor tidak formal atau yang tidak mempunyai pendapatan tetap untuk menyimpan demi persaraan mereka.

Pada separuh pertama 2023, jumlah ahli berdaftar dengan i-Saraan meningkat kepada 1.07 juta, naik 48 peratus daripada 725,944 pada separuh pertama 2022.

Dalam tempoh itu, KWSP mencatatkan pertumbuhan 36 peratus dalam jumlah pencarum sukarela kepada 535,307 berbanding 393,966 pada separuh pertama 2022.

Sementara itu, bilangan ahli sektor formal yang memilih untuk menyumbang lebih daripada kadar berkanun ialah 31,128 pada separuh pertama 2023 berbanding 9,765 pada separuh pertama 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 6:00 AM