FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Grab Malaysia (Grab) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menggalakkan komuniti rakan pemandu dan penghantar mereka menabung untuk simpanan persaraan.

Ia boleh dilakukan melalui program i-Saraan bagi ahli berumur bawah 55 tahun atau caruman sukarela bagi individu berusia 55 dan ke atas.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerjasama KWSP dan Grab ini meningkatkan kesejahteraan persaraan rakan pemandu dan penghantar mereka.

"Tahniah kepada pihak Grab atas komitmen memberi insentif tambahan bagi menggalakkan pekerja menabung untuk persaraan.

"MoU ini juga bertujuan mempromosikan literasi kewangan dalam kalangan rakan pemandu dan penghantar Grab serta kepentingan membuat persediaan persaraan, terutama dalam landskap ekonomi mencabar apabila semua pihak perlu cakna dengan keadaan kewangan masing-masing.

"Kami harap komuniti rakan pemandu dan penghantar Grab yang bekerja keras mendaftar sebagai ahli KWSP dan membuat simpanan untuk tabung persaraan, sama ada melalui program i-Saraan atau caruman sukarela.

"Ini bukan saja dapat membantu mereka membuat persediaan persaraan, malah mendapat manfaat sebagai ahli KWSP, antaranya dividen tahunan ke atas simpanan, pelepasan cukai, dan bantuan kematian," katanya dalam kenyataan, semalam.

I-Saraan ialah caruman sukarela yang membolehkan individu bekerja dalam ekonomi gig dan juga yang bekerja sendiri menabung untuk simpanan persaraan mereka melalui caruman di KWSP.

Mereka yang mencarum dalam i-Saraan menerima insentif kerajaan 15 peratus berdasarkan jumlah caruman individu setahun, sehingga maksimum RM250 setahun.

Di bawah program caruman sukarela, individu boleh mencarum sendiri pada bila-bila masa sehingga RM60,000 setahun.

Mulai 1 September 2021, Grab memberi insentif untuk rakan pemandu dan penghantar berkelayakan seperti dinyatakan dalam MoU di apabila rakan pemandu dan penghantar berumur bawah 55 tahun yang mencarum melalui program i-Saraan menerima caruman tambahan lima peratus sehingga maksimum RM80 setiap tahun.

Bagi rakan pemandu dan penghantar berumur 55 tahun ke atas yang mencarum melalui program caruman sukarela KWSP pula menerima caruman tambahan 10 peratus sehingga maksimum RM120 setiap tahun.

Manakala, rakan pemandu dan penghantar yang dikenal pasti sebagai orang kurang upaya (OKU) bagi semua peringkat umur yang mencarum melalui i-Saraan atau program caruman sukarela KWSP menerima caruman tambahan 10 peratus sehingga maksimum RM120 setiap tahun.

Berdasarkan pengiraan dibuat, dengan membuat simpanan awal walaupun pada jumlah kecil, rakan pemandu dan penghantar Grab mendapat manfaat daripada penggandaan dividen.

Sebagai contoh, melalui penggandaan dividen, individu yang mencarum RM10 sebulan untuk tempoh 30 tahun menggandakan simpanan mereka menjadi RM8,220 selepas 30 tahun, atau dua kali ganda daripada jumlah caruman.

Jika rakan pemandu dan penghantar Grab mencarum RM140 sebulan, mereka berpeluang menikmati insentif Grab dan i-Saraan, memberi mereka jumlah terkumpul RM114,840 dalam masa 30 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 8:25 AM