LAPORAN Harian Metro sebelum ini
LAPORAN Harian Metro sebelum ini
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang melakukan siasatan terhadap insiden membabitkan kumpulan nelayan Malaysia dan Coast Guard Singapura, yang berlaku di perairan Malaysia berhampiran sempadan Singapura, petang semalam.

Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Rahmat Ariffin, menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

"Polis maklum mengenai video tular media sosial yang berdurasi 2:02 minit dan 0:43 saat yang memaparkan insiden pertengkaran mulut membabitkan sekumpulan nelayan Malaysia dan Coast Guard Singapura yang berlaku di perairan Malaysia berhampiran sempadan Singapura.

"Satu laporan polis dibuat oleh wakil nelayan Malaysia yang terbabit serta siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, NSTP hari ini melaporkan sekumpulan 10 nelayan tempatan mendakwa dihalau pihak berkuasa Singapura ketika memasang jaring udang di kawasan Pasir Laba, berhampiran Jambatan Link Kedua di sini, petang semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang apabila mereka dihalau menggunakan pembesar suara dari bot pihak berkuasa negara jiran itu, walaupun masing-masing berada dalam perairan negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad, dilaporkan mengakui kesal dengan tindakan pihak berkuasa Singapura itu apatah lagi kumpulan nelayan berkenaan mendakwa dihalau dengan kata-kata kesat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2022 @ 9:35 PM