Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Tindakan pihak berkuasa Singapura yang didakwa menghalau 10 nelayan tempatan yang berada dalam perairan negara, petang semalam amat dikesali.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad, berkata, beliau menerima aduan nelayan berkenaan mendakwa mereka dihalau dengan kata-kata kesat menggunakan pembesar suara dari bot pihak berkuasa republik berkenaan kira-kira jam 5.30 petang semalam.

Katanya, ketika kejadian kira-kira 10 nelayan tempatan sedang memasang jaring udang yang ingin dilepaskan di kawasan Pasir Laba, berhampiran Jambatan Link Kedua (Second Link), di sini.

"Namun, bot pihak berkuasa Singapura didakwa menghalau kumpulan 10 nelayan tempatan itu dengan kata-kata kesat kerana dikatakan menceroboh sempadan republik itu.

"Apa yang dikesalkan adalah kawasan nelayan itu ingin melabuhkan pukat adalah masih di perairan negara di Selat Johor malah bot peronda republik itu yang sebenarnya menceroboh masuk ke sempadan negara.

"Kumpulan nelayan juga mempunyai bukti video yang mereka masih berada di kawasan sempadan negara selain turut merekodkan provokasi pihak berkuasa Singapura terhadap mereka.

"Satu laporan polis sudah dibuat kumpulan nelayan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri kira-kira jam 2.30 petang tadi," katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, dua video nelayan berdurasi dua minit dan 43 saat, tular di media sosial menyebabkan rakyat negeri ini marah dan mahukan pihak berkuasa negara mengambil tindakan tegas atas pencabulan kedaulatan negara.

Dalam pada itu, Pandak berkata, beliau berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan hak nelayan yang mencari rezeki di kawasan perairan negara tidak dianiaya.

"Saya difahamkan kejadian sama sudah beberapa kali berlaku namun nelayan hanya mengambil tindakan mendiamkan diri sebelum ini supaya ia tidak menjejaskan mereka," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Rahmat Ariffin, yang dihubungi mengesahkan laporan polis itu.

LAPORAN Harian Metro sebelum ini
LAPORAN Harian Metro sebelum ini

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2022 @ 5:33 PM