GAMBAR hiasan. Polis Pengawal Pantai Singapura. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. Polis Pengawal Pantai Singapura. FOTO AFP
Oleh Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Pasukan Polis Singapura (SPF) menafikan dakwaan nelayan Malaysia dihalau Polis Pengawal Pantai (PCG) kerana menangkap ikan di perairan negara ini, Isnin lalu.

SPF dalam kenyataannya hari ini berkata, dakwaan itu adalah tidak benar kerana insiden itu berlaku di perairan wilayah Singapura berdekatan Tuas.

SPF berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 6.55 pagi Isnin lalu ketika bot PCG sedang membuat kawalan di kawasan perairan negara itu.

"Bot PCG kemudian mengesan sebuah bot nelayan Malaysia berada dalam kawasan perairan Singapura. Ada beberapa lagi bot nelayan Malaysia ketika itu namun kesemua bot yang lain berada dalam kawasan perairan Malaysia.

"Pegawai PCG bertugas kemudian menghampiri bot nelayan itu dan menasihati nelayan berkenaan segera meninggalkan perairan Singapura.

"Namun sebaik sahaja bot PCG beredar selepas memberi nasihat itu, pukat nelayan berkenaan telah tersangkut dan terbelit di kipas enjin bot PCG ketika bot pihak berkuasa Singapura itu ingin berundur bagi mengelak memasuki kawasan perairan Malaysia.

"Bagaimanapun, pukat nelayan itu rosak dalam proses pegawai PCG cuba melepas pukat itu dari kipas enjin bot. Ingin kami tegaskan, pegawai PCG menguatkuasakan undang-undang di kawasan perairan Singapura bukan Malaysia," katanya.

Selasa lalu, empat nelayan Kampung Pendas, Iskandar Puteri dilaporkan mendakwa pihak berkuasa Singapura melanggar dan merosakkan jaring mereka ketika sedang memasang jaring udang di kawasan perairan Selat Tebrau, pada pagi Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi berhampiran Jambatan Link Kedua di sini itu, sebuah bot berkuasa negara jiran itu didakwa tiba-tiba melanggar jaring udang yang dipasang sebelum menariknya sehingga masuk ke dalam sempadan negara berkenaan.

Nelayan Kampung Pendas, Faizan Wahid, 42, dilaporkan berkata ketika kejadian berlaku beliau bersama tiga nelayan lain sedang memasang jaring udang.

Dalam pada itu, SPF turut memaklumkan nelayan yang sama turut membuat dakwaan palsu pada Oktober 2022 apabila diminta pihak berkuasa republik itu meninggalkan kawasan perairan Singapura untuk keselamatan dirinya.

Pada 24 Oktober tahun lalu, sekumpulan 10 nelayan tempatan dilaporkan mendakwa dihalau pihak berkuasa Singapura ketika memasang jaring udang di kawasan Pasir Laba, berhampiran Jambatan Link Kedua di sini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang apabila mereka dihalau menggunakan pembesar suara dari bot pihak berkuasa negara jiran itu, walaupun masing-masing berada dalam perairan negara.

Tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2023 @ 3:43 PM