TIGA beradik Orang Asli menyertai program berkhatan Sinar Kedewasaan anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS). FOTO Ahmad Hasbi
TIGA beradik Orang Asli menyertai program berkhatan Sinar Kedewasaan anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS). FOTO Ahmad Hasbi
Ahmad Hasbi


Seremban: Pasangan kembar Orang Asli berusia 13 tahun teruja ketika menyertai program berkhatan beramai-ramai dan gembira kerana mereka kini sama seperti rakan sebaya lain.

Zul Mohd Zaki dan adik kembarnya, Mezul Mohd Zaki ditemani ibu mereka bertolak dari Kampung Orang Asli Panchor, Jempol, jam 7 pagi hari ini ke Pusat Dakwah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), dekat Paroi, di sini.

Zul berkata, rasa gementar hilang apabila dia dapat berkhatan bersama adiknya dan rakan sekampung secara beramai-ramai di bawah kelolaan Bahagian Dakwah JHEINS.

"Semua rakan sebaya yang beragama Islam sudah berkhatan, namun saya adik kembar belum melaluinya lagi. Khamis lalu ibu memaklumkan yang kami berdua akan melakukannya, jadi kami tidak sabar.

"Sebelum ini kami terlepas program berkhatan yang dianjurkan menyebabkan saya dan adik sedikit terlambat. Rakan-rakan bercerita pengalaman mereka berkhatan dan memaklumkan ia tidak sakit," katanya ketika ditemui pada program Sinar Kedewasaan, di sini.

Seramai 30 anak Orang Asli dari Kampung Panchor, Kampung Sunggala, Port Dickson dan Kampung Air Pulasan, Kuala Pilah menyertai program itu.

Ibu pasangan kembar itu, Emee Andai, 32, berkata, selepas mendapat maklumat mengenai penganjuran program itu, dia segera mendaftarkan kedua-dua beradik itu supaya tidak terlepas seperti sebelum ini.

"Bagi kami kos untuk berkhatan agak mahal memandangkan keluarga bukan orang senang. Untuk program hari ini, semua kos ditanggung JHEAINS, malah mereka menyediakan baju Melayu dan kain pelikat," katanya.

Muhammad Afiq Habibi Azizol, 12, bersama dua lagi adiknya yang berusia lapan dan tujuh tahun turut teruja untuk melalui pengalaman itu.

"Bapa sudah meninggal dunia pada 2018 kerana terbabit dalam kemalangan. Ibu pula tidak dapat menemani kami, jadi sebagai abang saya akan menjaga mereka sepanjang program ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JHEAINS, Asniza Ahmad berkata, ini kali pertama pihaknya menganjurkan program berkhatan secara beramai-ramai bagi anak orang asli di negeri ini.

"Kami mendapat kerjasama daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia, Jabatan Kebajikan Orang Asli (Jakoa) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Sambutan daripada masyarakat Orang Asli sangat menggalakkan, malah Tok Batin dan pemimpin masyarakat sangat memberikan kerjasama meskipun ada di antara mereka bukan beragama Islam. Kita akan teruskan program seperti ini pada masa akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2022 @ 2:29 PM