KANAK-kanak dimandikan beramai-ramai. Gambar kecil, Mohd Adil (kanan) dan Mohd Adin.
KANAK-kanak dimandikan beramai-ramai. Gambar kecil, Mohd Adil (kanan) dan Mohd Adin.

Alor Setar: “Sejak malam tadi (kelmarin) hati saya berdebar-debar kerana gementar berikutan ramai memberitahu bersunat itu sakit, tetapi rasa takut yang menyelubungi hilang apabila disunatkan beramai-ramai termasuk disertai adik kembar saya.”

Itu kata murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Aman Diraja, Alor Merah Mohd Adil Rahman Asgar, 12, yang bersama kira-kira 100 murid lain menyertai majlis berkhatan beramai-ramai sempena program Jom Masuk Jawi anjuran Perbadanan Nasional Berhad (PNS) di SK Mergong di sini, semalam.

Mohd Adil berkata, usikan rakan mengatakan sunat menyakitkan membuatkan perasaannya semakin gementar sebaik melangkah masuk ke pintu pagar sekolah jam 8 pagi.

“Namun saya jadi berani apabila tiada seorang pun menangis. Pada masa sama, adik kembar saya, Mohd Adin Rahim turut menyertai program ini,” katanya.

Majlis dirasmikan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Hadir sama, Pengarah Urusan PNS Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin dan Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) KPDNKK Datuk Azmi Lateh.

Pada majlis sama, PNS menyumbang RM30,000 untuk penyelenggaraan, membaik pulih dan mengecat bangunan sekolah itu.

Murid tahun satu SK Datuk Kumbar, Fikri Faizal berkata, dia tidak sabar bersunat memandangkan semua rakannya sudah melalui pengalaman itu.

“Saya seronok kerana dapat bersunat beramai-ramai dan dapat mengurangkan perasaan takut,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Bashah berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) PNS bertujuan mendekati dan membantu golongan kurang berkemampuan.

“Ia sekali gus membentuk jaringan sosial antara masyarakat setempat dan agensi kerajaan.

“Program ini diharap dapat meningkatkan semangat kekeluargaan dan mengukuhkan ikatan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat, sekali gus membuktikan kita boleh bersatu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 November 2014 @ 5:06 AM