Muhammad Nazim (dua kiri) dan adiknya, Muhammad Nazmi (kiri) serta Muhamad Putra Qayum (kanan) dan adiknya, Muhamad Petra Qayim. FOTO Balqis Jazimah Zahari
Muhammad Nazim (dua kiri) dan adiknya, Muhammad Nazmi (kiri) serta Muhamad Putra Qayum (kanan) dan adiknya, Muhamad Petra Qayim. FOTO Balqis Jazimah Zahari
Balqis Jazimah Zahari


“KAMI nak nombor satu, bagi kami bersunat dulu,” kata salah seorang daripada dua pasangan kembar yang teruja mahu berkhatan sempena Majlis Berkhatan Beramai-Ramai anjuran Masjid (India Muslim) Ar-Rahman, Pusing di Jalan Lahat di Batu Gajah, hari ini.

Pasangan kembar itu, Muhamad Putra Qayum Azrul Anuar, 9 dan adiknya, Muhamad Petra Qayim kelihatan begitu teruja dan berebut-rebut mahu berkhatan terlebih dahulu daripada lebih 50 peserta yang lain.

Muhamad Putra Qayum berkata, dia memang sudah menunggu saat itu sejak seminggu lalu selepas dimaklumkan oleh ibu dan bapanya mengenai majlis berkenaan.

“Adik tak rasa takut… adik nak cepat-cepat bersunat sebab kawan adik yang lain semua dah bersunat.

“Adik nak bersunat ni sebab nak bersih dan nanti boleh cepat jadi orang besar (dewasa),” katanya ketika ditemui sebelum masuk ke dewan untuk bersunat pada majlis berkhatan berkenaan.

Satu lagi pasangan kembar, Muhammad Nazim Kamarzaman, 7, dan adiknya, Muhammad Nazmi, pula kelihatan tersenyum dan ceria mahu berkhatan bersama.

Program dirasmikan oleh Pegawai Tadbir Agama Daerah Batu Gajah, Zolkipli Ismail.

Turut hadir, Setiausaha Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG), Shahiri Tan.

Program bermula dengan perarakan kanak-kanak yang menyertai program itu dari pekarangan pintu masuk Sekolah Kebangsaan (SK) Pusing ke masjid, kemudian disembur dengan air oleh anggota bomba, sebelum bersunat di dalam ruang yang disediakan di dalam masjid berkenaan.

Sementara itu, Pengarah program merangkap Setiausaha masjid, Mohd Khairul Firdaus Subbarao Abdullah berkata, majlis berkhatan secara percuma anjuran masjid dengan kerjasama SK Pusing, Pejabat Agama Islam Daerah Batu Gajah dan Balai Polis Pusing itu julung kali diadakan secara besar-besaran.

“Sebelum ini kita memang ada program berkhatan tetapi dibuat secara kecil-kecilan.

“Kita berharap penganjuran program ini dapat diteruskan dan menjadi ikutan masjid lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 2:05 PM