100 kanak-kanak berarak pada Program Berkhatan Beramai-Ramai di MRSM Batu Pahat.
100 kanak-kanak berarak pada Program Berkhatan Beramai-Ramai di MRSM Batu Pahat.

Batu Pahat: “Lepas ini saya boleh berada di saf depan bersama ayah ketika solat berjemaah di masjid,” kata Mohd Izwan Asmadi, 8.

Dia antara 100 kanak-kanak peserta Program Berkhatan Beramai-Ramai Parlimen Parit Sulong yang diadakan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), di sini, kelmarin.

Mohd Izwan mengakui berdebar dan takut ketika menunggu giliran untuk dikhatankan oleh doktor dari Hospital Batu Pahat itu.

Menurutnya, bagaimanapun debaran itu berkurangan selepas melihat beberapa rakan sebaya selesai selain sokongan ahli keluarganya.

“Selepas berkhatan, saya boleh berada di sebelah ayah di saf depan ketika solat berjemaah di masjid dan tidak perlu lagi berada di saf belakang ketika solat Jumaat.

“Saya juga berasa gembira kerana sudah melaksanakan kewajipan sebagai seorang lelaki Muslim ,” kata murid sebuah sekolah rendah itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Parit Sulong Datuk Noraini Ahmad berkata, program itu menunjukkan keprihatinan Parlimen Parit Sulong dalam membantu meringankan beban masyarakat.

Menurutnya, program yang berbentuk kebajikan itu diadakan setiap tahun dan ia menjadi antara program tradisi dijalankan parlimen itu.

“Berkhatan adalah satu proses yang wajib dilalui setiap kanak-kanak lelaki beragama Islam ketika melangkah ke alam remaja dan majlis seperti ini mampu mengembalikan suasana tradisi yang pernah dilakukan masyarakat sebelum ini.

“Kanak-kanak yang berkhatan ini, mungkin berdebar, malah ada yang berasa takut namun jika ia dilakukan beramai-ramai mungkin hilang rasa seperti itu malah membuatkan mereka lebih bersemangat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Disember 2014 @ 7:02 AM