MPK bertindak menyita semua barangan termasuk arak, tong gas, alat timbang digital dan peralatan dapur. FOTO Ihsan MPK
MPK bertindak menyita semua barangan termasuk arak, tong gas, alat timbang digital dan peralatan dapur. FOTO Ihsan MPK
Ruwaida Md Zain


Klang: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menggempur 11 kediaman yang diubahsuai menjadi premis perniagaan tanpa lesen oleh warga asing di sekitar Meru di sini, semalam.

Timbalan Pengarah Penguatkuasa MPK, Shahrul Hazri Abd. Majid berkata, lebih mengejutkan kedai runcit yang dikendalikan oleh warga Bangladesh itu turut menjalankan aktiviti menjual minuman keras.

"Bertindak atas maklumat orang awam, satu siri operasi menggempur terbabit dijalankan oleh sepasukan anggota penguat kuasa MPK bermula jam 8 malam.

"Operasi selama tiga jam itu dijalankan di Jalan Abadi, Taman Daya, Jalan Sesenduk dan Jalan Teratai.

"Hasil pemeriksaan mendapati, 11 buah premis kediaman yang diubahsuai menjadi premis perniagaan itu tidak mempunyai lesen perniagaan sah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shahrul Hazri berkata, dalam serbuan itu, pihaknya bertindak menyita semua barangan termasuk arak, tong gas, alat timbang digital dan peralatan dapur.

"Kesemua nilai rampasan berkenaan dianggarkan berjumlah RM9,700," katanya.

Beliau berkata, serbuan itu adalah serbuan kali ke tiga tahun ini di lokasi yang sama malah Jabatan Bangunan MPK turut melakukan operasi perobohan premis terbabit.

"Kita berharap warga tempatan dan pihak majlis dapat bekerjasama dalam mengekang aktiviti seperti ini di masa depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2022 @ 11:31 PM