Ruwaida Md Zain


KIRA-KIRA 30 botol minuman keras ditemui, sisa makanan dalam pinggan di meja makan, satu meja permainan snuker, juga gambar serta papan putih (notice board) yang tertera tulisan dalam bahasa Nepal.

Itu keadaan sebuah restoran diusahakan warga Nepal yang beroperasi secara haram bermula 8 malam sehingga 8 pagi yang diserbu Majlis Perbandaran Klang (MPK) dalam Ops Terjah di sekitar pusat perniagaan di Lorong Kepayang, Klang.

Penguat kuasa MPK juga terpaksa memecah masuk premis yang terletak di tingkat atas bangunan rumah kedai itu dan mendapati seorang pekerja cuba menyorok namun berjaya dicekup.

Ketika ditanya, wanita warga Nepal berusaha 34 tahun itu mengakui bekerja di situ sejak tiga bulan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han yang turut serta dalam operasi terbabit berkata, restoran itu antara 11 premis disita atas pelbagai kesalahan, terutama beroperasi secara haram dan tidak mempunyai lesen menjual arak.

"Hari ini di kawasan ini sebanyak 36 premis diperiksa, daripada jumlah itu kita berjaya menutup dan menyita 11 premis warga asing, selain empat premis dikompaun.

"Premis yang disita dan dikompaun ini melakukan kesalahan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 3 Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPK) 2007; Undang-Undang Kecil 3(1) Perlesenan Establishment Makanan (MPK) 2007 dan Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Selangor 1995 Pindaan 1998 & 2001," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas operasi terbabit yang turut disertai Yang Dipertua MPK, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dan Timbalan YDP MPK, Elya Marini Darmin.

Sze Han berkata, dalam operasi itu juga beliau mendapati segelintir warga tempatan yang membuka ruang kepada warga asing untuk berniaga dengan 'mengalibabakan' lesen perniagaan mereka.

"Sepatutnya peluang perniagaan ini harus diberikan keutamaan kepada warga tempatan untuk berniaga tetapi jika warga tempatan langgar syarat pelesenan dan menyewakan lesen kepada warga asing, lesen perniagaan mereka akan dibatalkan.

"Kalau lesen mereka dibatalkan, akan ada satu rekod dalam pihak berkuasa tempatan (PBT), jadi mereka tidak boleh buat permohonan baharu dan tindakan ini sedang berjalan di seluruh Selangor.

"Seperti kita lihat, setiap kali serbuan dibuat, tiada pemilik premis, yang ada pekerja atau individu yang berbeza-beza menjaga premis itu, ini kita syak lesen 'dialibabakan' oleh pemilik warga tempatan," katanya.

Beliau turut mengulas mengenai isu perniagaan dikendalikan oleh warga asing yang juga pasangan kepada pemilik lesen perniagaan seperti suami atau isteri.

SZE Han (tengah) bersama pegawai serta penguat kuasa MPK melihat botol arak yang dirampas ketika operasi terjah peniaga warga asing di Lorong Kepayang, Klang. FOTO Faiz Anuar
SZE Han (tengah) bersama pegawai serta penguat kuasa MPK melihat botol arak yang dirampas ketika operasi terjah peniaga warga asing di Lorong Kepayang, Klang. FOTO Faiz Anuar

"Selangor juga sedang dalam proses untuk meminda UUK untuk melarang dan tidak membenarkan warga asing menjadi penjaga atau pekerja di premis perniagaan.

"Tetapi harus dibezakan pelabur asing dengan pekerja asing. Pekerja asing datang untuk bekerja di sektor tertentu sahaja bukan untuk berniaga manakala pelabur asing ada permit yang membenarkan mereka untuk berniaga di sini," katanya.

Sementara itu, Dr Ahmad Fadzli berkata, pemilik atau penyewa asal premis yang disewakan kepada warga asing itu bukan sahaja disita, sebaliknya dibatalkan lesen perniagaan malah barangan sitaan seperti minuman keras akan dilupuskan.

"Hari ini satu kawasan sahaja, kita akan buat operasi berterusan sebab kita percaya banyak lagi premis yang dikendalikan warga asing di kawasan lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2020 @ 3:44 PM