Majlis Perbandaran Klang (MPK) bertindak merobohkan struktur bangunan tanpa kelulusan di atas tanah Lot 4911, Jalan Teratai Off Jalan Meru. FOTO IHSAN MPK
Majlis Perbandaran Klang (MPK) bertindak merobohkan struktur bangunan tanpa kelulusan di atas tanah Lot 4911, Jalan Teratai Off Jalan Meru. FOTO IHSAN MPK
Ruwaida Md Zain


Klang: Kedegilan warga asing menjalankan perniagaan secara haram dengan membina struktur bangunan tanpa kelulusan di Lot 4911, Jalan Teratai Off Jalan Meru mengundang padah apabila struktur berkenaan dirobohkan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Kerja meroboh berkenaan dilaksanakan MPK hari ini dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Tenaga Nasional Berhad.

Yang Dipertua MPK Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, tindakan penguatkuasaan terhadap struktur binaan itu dan kawasan perumahan sekitar diambil lanjutan aduan orang ramai berkenaan aktiviti perniagaan warga asing di atas tanah lot berkenaan.

"Satu operasi bersepadu dijalankan dengan menyita barangan perniagaan ke atas premis yang menjalankan aktiviti tanpa lesen perniagaan di tanah lot itu.

"Semasa operasi, MPK turut menyita empat rumah yang disalahgunakan untuk aktiviti perniagaan pada 24 September lalu.

"Susulan operasi itu pada 19 November lalu, sebanyak sembilan rumah lagi yang disalahgunakan untuk aktiviti perniagaan disita oleh Jabatan Penguatkuasa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Fadzli berkata, antara kesalahan lain dilakukan pemilik tanah lot 4911 adalah mendirikan struktur bangunan tanpa kelulusan.

"Lanjutan itu, MPK mengeluarkan notis pertama mengikut Seksyen 70 (1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) atas kesalahan membina bangunan tanpa kelulusan pada 5 Oktober lalu.

"Notis diserahkan kepada pemilik tanah serta pengusaha premis perniagaan di atas tanah lot berkenaan.

"Berikutan kegagalan arahan notis pertama, MPK mengeluarkan notis kedua mengikut Seksyen Seksyen 72 (1) dan Seksyen 72 (6) Akta Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) untuk mengosongkan dan merobohkan struktur bangunan tanpa kelulusan pada 18 November dengan tempoh pematuhan yang diberikan 30 hari.

"Bagaimanapun, setelah tamat tempoh notis pada 18 Disember lalu, pemilik didapati masih ingkar arahan notis untuk merobohkan sepenuhnya struktur bangunan tanpa kelulusan itu," katanya.

Sehubungan itu katanya, operasi merobohkan struktur bangunan di atas tanah lot itu dijalankan susulan kegagalan pemilik tanah dan pengusaha premis mematuhi arahan notis dikeluarkan.

"Operasi bermula jam 10 pagi diketuai Jabatan Bangunan dibantu jabatan dalaman MPK iaitu Jabatan Penguatkuasa, Jabatan Perkhidmatan Persekitaran dan Jabatan Kejuruteraan.

"Tindakan penguatkuasaan ini perlu bagi memastikan peruntukan undang-undang yang digunapakai Majlis, di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) dipatuhi oleh warga Klang.

"MPK mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menjayakan operasi ini terutamanya Polis, Air Selangor dan Tenaga Nasional," katanya.

Beliau berkata, MPK serius dalam mengambil tindakan terhadap mana-mana struktur bangunan yang dibina tanpa kelulusan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Tenaga Nasional Berhad, Yang Dipertua MPK, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2020 @ 6:01 PM