AHLI Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim. FOTO arkib NSTP
AHLI Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim. FOTO arkib NSTP
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Pendang dari Perikatan Nasional (PN) Datuk Awang Hashim diarah keluar dewan selama tiga hari bermula hari ini susulan kenyataan dibuatnya terhadap RSN Rayer (PH-Jelutong) mengenai anti Islam.

Arahan itu dibuat oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Md Nor selepas Awang enggan menarik balik kenyataan dibuatnya itu terhadap Rayer.

Terdahulu, perkara itu bermula apabila Rayer bangun membangkitkan peraturan dewan bahawa pada Khamis minggu lalu beberapa ahli parlimen pembangkang didakwanya menghina Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan menggunakan istilah posmen.

Selain itu, Rayer berkata, Awang turut menggunakan perkataan enam jahanam terhadap bekas Ahli Parlimen Bersatu yang mengisytihar sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Awang kemudiannya bangun mencelah dan menuduh Rayer seorang anti Islam.

Ia kemudiannya menyebabkan dewan 'panas' apabila Rayer meminta Awang untuk menarik balik kenyataan dibuatnya itu.

"Saya minta dia tarik balik kenyataan anti Islam. Itu tak betul. Apa yang saya nyatakan, beliau telah menyatakan dalam dewan (iaitu) menjahanamkan enam orang (bekas Ahli Parlimen Bersatu).

"Tapi apa yang beliau nyatakan (kepada) saya anti Islam itu tak betul (dan) amat serius," katanya.

Perkara itu turut dipersetujui Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang menyifatkan tuduhan dibuat Awang amat serius dan berat.

Ramli kemudiannya meminta agar Awang menarik balik kenyataan dibuatnya itu.

"Bila dibangkitkan Jelutong dan Bayan Baru, saya rasa ada logiknya. Kita kena harmonikan dewan ini. Jangan menuduh antara satu sama lain dan jadi tontonan di luar.

"Adakah ini kita nak tunjukkan kepada masyarakat. Jadi YB, tarik balik perkataan itu. Tolong. Bahagian itu saja," katanya.

Bagaimanapun, Awang kemudiannya menegaskan bahawa kekal dengan apa yang dinyatakannya dan tidak menarik balik perkataan tersebut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 1:27 PM