Mohd Zaki yang dibantu anggota JBPM di R&R Tapah, Sabtu lalu.
Mohd Zaki yang dibantu anggota JBPM di R&R Tapah, Sabtu lalu.
Noor Hidayah Tanzizi


Tapah: "Saya terharu dengan keprihatinan anggota bomba itu kerana sudi membantu saya yang sudah tidak berdaya ketika itu," kata penulis buku, Mohd Zaki Ab Latif.

Mohd Zaki, 46, dibantu anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas berdepan detik cemas kerana hampir pitam akibat mengalami cirit-birit di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah, di sini, pada 5 petang, Sabtu lalu.

Berkongsi kisahnya, Mohd Zaki yang kini dirawat di Hospital Tapah berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Gajah, Perak dari Kuala Lumpur, namun berhenti di R&R berkenaan untuk makan.

Menurutnya, selepas makan dia kemudian tiba-tiba berasa sakit perut dan segera ke tandas.

"Saya mengalami cirit-birit dan berada di tandas kira-kira 15 minit. Ketika itu rasa nak pitam dan kemudian saya keluar untuk ke tempat duduk dalam keadaan nafas tercungap-cungap, malah pandangan mula kabur sebelum ternampak seorang lelaki.

"Daripada cara pemakaian, saya agak dia anggota bomba lalu melambai untuk meminta bantuan daripadanya. Lelaki itu menyedarinya dan terus menghampiri saya serta bertanya keadaan saya," katanya.

Menurutnya, tidak lama kemudian sekumpulan anggota bomba lain dipercayai rakan lelaki itu bertindak membantu serta menghubungi ambulans dan ahli keluarga untuk memaklumkan keadaannya.

"Ketika itu ambulans belum sampai dan badan saya pula semakin lemah. Kumpulan anggota bomba berkenaan berbincang dan akhirnya seorang anggota bomba mengangkat saya pergi ke kenderaan mereka dan diletakkan di tempat duduk penumpang hadapan. Saya ke hospital bersama dua anggota.

"Seorang memandu dan seorang lagi duduk di belakang sambil pegang bahu saya. Dia sentiasa tepuk bahu supaya saya tak tutup mata, keadaan saya ketika itu sangat lemah dan sesak nafas, saya mampu istighfar dan selawat saja," katanya.

Katanya, anggota bomba berkenaan dipercayai bukan bertugas di Tapah dan dia juga membantu menunjukkan jalan kepada mereka untuk ke hospital.

"Sebaik sampai di wad kecemasan, anggota bomba berkenaan beritahu kakitangan hospital bahawa saya mahu pengsan, sesak nafas dan ada penyakit diabetis serta darah tinggi.

"Petugas hospital mengambil tindakan segera dan saya hanya sempat cakap terima kasih saja kepada mereka yang hantar saya ke hospital sebelum pulang," katanya.

Katanya, dia berharap dapat bertemu dengan kesemua anggota bomba yang membantunya untuk menyatakan penghargaan kepada mereka.

"Tanpa mereka, saya tak tahu bagaimana keadaan saya hari itu tetapi saya tak tahu mereka dari mana kerana kami memang tidak sempat bersembang, malah saya juga tidak sempat ambil gambar, nama atau nombor telefon mereka.

"Apabila sudah sihat, saya mahu jumpa mereka untuk cakap terima kasih secara berdepan kerana sangat menghargai bantuan itu. Saya mohon sampaikan kepada mereka jika ada yang tahu (mengenali anggota berkenaan)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 2:07 PM