ABDUL Wahid Omar memberi ucapan semasa Pelancaran Indeks Zakat Pribumi Bursa Malaysia di Bursa Malaysia Exchange. FOTO Genes Gulitah
ABDUL Wahid Omar memberi ucapan semasa Pelancaran Indeks Zakat Pribumi Bursa Malaysia di Bursa Malaysia Exchange. FOTO Genes Gulitah
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Bursa Malaysia Bhd (Bursa Malaysia) dan Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia (Pribumi), melancarkan Indeks Zakat Pribumi Bursa Malaysia (PBMZI), indeks baharu direka untuk mengiktiraf syarikat awam tersenarai yang mengamalkan Zakat Korporat, pertama di dunia.

Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, PBMZI menggabungkan prinsip kewangan Islam dengan elemen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI).

Katanya, PBMZI adalah indeks pertama Bursa Malaysia yang disesuaikan, menunjukkan komitmen pengendali bursa saham tempatan untuk memajukan produk dan perkhidmatan patuh Syariah dengan menawarkan produk pasaran inovatif menggunakan analitik data.

"Indeks ini selaras dengan Bursa Malaysia untuk menggalakkan syarikat tersenarai mengamalkan Zakat Korporat sebagai sebahagian daripada inisiatif ESG dan SRI mereka.

"Sebagai peneraju global dalam Kewangan Islam, pasaran modal Malaysia mempunyai asas dan rangka kerja yang kukuh serta kumpulan konstituen yang tepat untuk memperjuangkan amalan Zakat Korporat.

"Bursa Malaysia menjangkakan Indeks Zakat Bursa Malaysia Pribumi akan berfungsi sebagai asas untuk membangunkan beberapa produk pasaran modal, termasuk dana dagangan bursa dan dana unit amanah.

"Produk ini kemudiannya akan menawarkan pilihan pelaburan yang pelbagai dan beretika kepada pelabur," katanya kepada media selepas merasmikan PBMZI di sini, hari ini.

ABDUL Wahid Omar (kanan) dan Umar Swift (kiri) dan Izrul Zainal Abidin (tengah merasmikan Pelancaran Indeks Zakat Pribumi Bursa Malaysia. FOTO Genes Gulitah
ABDUL Wahid Omar (kanan) dan Umar Swift (kiri) dan Izrul Zainal Abidin (tengah merasmikan Pelancaran Indeks Zakat Pribumi Bursa Malaysia. FOTO Genes Gulitah

Hadir sama, Presiden Pribumi, Izrul Zainal Abidini dan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar.

Abdul Wahid berkata, setakat ini, PBMZI memiliki 27 konstituen yang merangkumi pelbagai sektor termasuk perkhidmatan kewangan, produk pengguna, tenaga, penjagaan kesihatan, perladangan, hartanah, teknologi, telekomunikasi, pengangkutan dan utiliti.

Menurutnya, berdasarkan kajian, zakat memiliki korelasi positif dengan pertumbuhan ekonomi dan pengagihan zakat meningkatkan kuasa beli penerima zakat, sekali gus merangsang permintaan agregat.

Antara 2018 dan 2020, kutipan zakat Malaysia meningkat daripada RM3 bilion kepada RM3.5 bilion.

Sementara itu, Izrul berkata, Bursa Malaysia akan bekerjasama dengan perantara pasaran modal seperti Pribumi untuk membentuk indeks zakat pertama di dunia.

"Inisiatif perintis ini memperlihatkan matlamat bersama kami dengan Bursa untuk berinovasi dengan melancarkan PBMZI bagi memenuhi permintaan pelanggan kami untuk melabur dalam syarikat yang bertanggungjawab sosial.

"Lebih banyak boleh dilakukan untuk menggalakkan kesedaran dan amalan menyumbang Zakat Korporat dalam pasaran modal, yang selari dengan kewangan sosial Islam dan pelaburan beretika.

"Dengan ini, syarikat yang membuat sumbangan Zakat Korporat berpotensi meningkatkan daya tarikan pasaran mereka dengan menarik pelabur dan pelanggan yang sedar sosial," katanya.

Menurutnya, PBMZI indeks akan menjejaki prestasi 200 syarikat teratas yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia yang memenuhi kriteria kelayakan tertentu iaitu syarikat yang untung dan membuat sumbangan Zakat Korporat.

Di samping itu, syarikat yang disenarai pendek menjalani saringan ketat untuk memastikan tiada kontroversi yang diketahui sebelum dianggap layak dimasukkan dalam indeks.

Syarikat dalam PBMZI akan dinilai setiap separuh tahun iaitu pada Jun dan Disember.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 1:16 PM