MPK melakukan serbuan ke atas sekumpulan peniaga haram. FOTO Ihsan MPK
MPK melakukan serbuan ke atas sekumpulan peniaga haram. FOTO Ihsan MPK
Ruwaida Md Zain


Klang: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menggempur sekumpulan penjaja yang menjalankan perniagaan tanpa lesen di sekitar Bandar Sultan Suleiman, di sini, Khamis lalu.

Yang Dipertua MPK Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, operasi serbuan dijalankan 5 petang itu susulan rungutan dan kegusaran penduduk sekitar sehingga ada yang memuat naik hantaran di Facebook berhubung kebimbangan terhadap aktiviti perniagaan itu.

"Hasil pemeriksaan oleh pasukan penguat kuasa, seramai enam penjaja warga tempatan dan seorang penjaja warga asing menjalankan perniagaan tanpa lesen daripada MPK.

"MPK turut menyita barangan perniagaan mereka mengikut Undang-Undang Kecil atau UUK3 Penjaja (MPK) 2007 manakala kompaun ke atas setiap individu terbabit pula berdasarkan UUK3 Penjaja (MPK) 2007.

"Selain itu, notis mengikut UUK3 Penjaja (MPK) 2007 oleh Jabatan Penjaja juga diserahkan kepada peniaga terbabit," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

ANGGOTA penguat kuasa MPK menyita barangan peniaga yang beroperasi secara haram. FOTO Ihsan MPK
ANGGOTA penguat kuasa MPK menyita barangan peniaga yang beroperasi secara haram. FOTO Ihsan MPK

Ahmad Fadzli berkata, MPK akan perhebatkan operasi seumpama itu dari masa ke semasa dan memandang ia juga isu berkaitan peniaga asing.

"MPK menegaskan tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen kepada warga asing dan mana-mana pihak yang menyewa lesen mereka kepada warga asing bakal berdepan tindakan tegas.

"Berkaitan isu lambakan warga asing, MPK tidak mempunyai kuasa untuk menangkap atau menahan mereka kerana ia di bawah bidang kuasa di bawah jabatan yang berkenaan," katanya.

Terdahulu, hantaran di Facebook Geng Bandar Sultan Suleiman memaparkan kegusaran penduduk di Bandar Sultan Suleiman terutamanya di kawasan pangsapuri di situ.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 12:22 PM