ANTARA premis perniagaan haram warga asing yang diserbu MPK. FOTO ihsan MPK
ANTARA premis perniagaan haram warga asing yang diserbu MPK. FOTO ihsan MPK
Ruwaida Md Zain


Klang: Sebanyak 10 premis perniagaan haram warga asing diserbu Majlis Perbandaran Klang (MPK) dalam satu operasi khas sekitar Klang Utara, di sini, semalam.

Yang Dipertua MPK, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, serbuan pertama di Taman Dato Bandar, Jalan Salleh, Off Jalan Meru membabitkan enam premis yang menjalankan pelbagai jenis perniagaan tanpa lesen yang dikendalikan warga asing.

"Premis berkenaan menjalankan perniagaan menjual arak dan kedai runcit, kedai makan, kedai alat telekomunikasi, kedai serbaneka serta kedai gunting rambut.

"Terdapat juga kedai runcit menjual ayam serta memproses ayam hidup dalam premis tanpa kebenaran MPK.

"Sementara itu, empat premis diserbu di Jalan Abadi 10D / KU8 Meru dan hasil siasatan mendapati premis rumah kedai terbabit menjalankan aktiviti menjual arak dan kedai makan dikendalikan warga asing," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Fadzli berkata, dalam operasi itu, MPK menyita semua barang tred mengikut kesalahan Undang-Undang Kecil 3 Pelesenan Tred Perindustrian dan Perniagaan MPK 2007 serta Undang-Undang Kecil 3(1) Pelesenan Establisymen Makanan MPK 2007.

"MPK tidak pernah berkompromi dalam isu ini dan akan sentiasa memperhebatkan operasi dari semasa ke semasa bagi menangani isu peniaga warga asing yang sering dikaitkan dengan Klang.

"Saya juga mengingatkan warga tempatan agar tidak mengambil jalan mudah dengan menyewakan premis atau lesen mereka kepada warga asing kerana ia satu kesalahan serius dalam penggunaan lesen perniagaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 12:06 PM