OPERASI berkenaan. FOTO Ihsan MPK
OPERASI berkenaan. FOTO Ihsan MPK
Ruwaida Md Zain


Klang: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menyerbu sebuah rumah sewa warga asing yang dijadikan premis perniagaan secara haram dalam satu operasi di Taman Indah Sungai Pinang, Jalan Kapar, di sini, Ahad lalu.

Timbalan Pengarah Penguatkuasa, Shahrul Hazri Abd Majid berkata, siasatan mendapati rumah terbabit menjalankan aktiviti kedai runcit tanpa lesen yang dikendalikan oleh warga Myanmar.

"Pasukan penguatkuasaan MPK menyita semua barang perniagaan mengikut kesalahan UUK 3 Pelesenan Tred Perindustrian dan Perniagaan MPK 2007.

"Pihak kami akan memperhebatkan operasi ini dari masa ke semasa terutama dalam usaha membanteras perniagaan yang dijalankan oleh warga asing," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Shahrul Hazri berkata, sebelum ini, MPK sudah melakukan tindakan yang sama ke atas peniaga warga asing di Blok PKNS, Jalan Pasar Baru yang sememangnya menjadi lokasi 'panas' sejak dulu lagi.

Beliau juga meminta agar pemilik premis lebih peka dengan kediaman milik mereka yang disewakan kepada warga asing di situ.

"Warga asing mengambil kesempatan atas sikap tidak bertanggungjawab pemilik premis yang membiarkan mereka menjalankan perniagaan walaupun sedar ia adalah satu kesalahan di sisi undang-undang," katanya.

Sepanjang Ogos lalu, MPK sudah mengeluarkan 86 kompaun atas kesalahan berniaga tanpa lesen termasuk menjalankan pemeriksaan terhadap 305 premis dalam tempoh sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 9:16 AM