DATUK Seri Dr Chai Kee Kan (kiri) ketika hadir bagi keputusan representasi di Kompleks Mahkamah Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
DATUK Seri Dr Chai Kee Kan (kiri) ketika hadir bagi keputusan representasi di Kompleks Mahkamah Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
Suraya Roslan


Shah Alam: Syarikat Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd dan syarikat pembekal, Xin Jian Chang Sdn Bhd masing-masing didenda RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melukakan perasaan orang Islam berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah, pada Mac lalu.

Hakim Muhamad Anas Mahadzir memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud memaklumkan terdapat perkembangan baharu berhubung kes berkenaan.

Susulan itu beliau mohon pertuduhan dibacakan semula terhadap semua tertuduh.

Sebaik pertuduhan dibacakan, wakil KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Tee Kok Hiem selaku pengurus besar syarikat itu mengaku bersalah manakala Pengarah Xin Jian Chang Sdn Bhd, Soh Hui San turut membuat pengakuan sama.

Pada 26 Mac lalu, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan dan isteri Datin Seri Loh Siew Mui yang juga Pengarah KK Super Mart & Superstore mengaku tidak bersalah atas masing-masing satu pertuduhan, sengaja melukakan perasaan orang Islam dengan mempamerkan stoking tertera kalimah Allah di rak pameran jualan, yang dilihat oleh seorang lelaki berusia 32 tahun.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Bandar Sunway pada jam 6.30 pagi 13 Mac lalu, mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Chai yang juga mewakili syarikatnya KK Supermart & Superstore turut didakwa atas pertuduhan sama.

Sementara itu, syarikat pembekal yang mengedar barangan kepada KK Super Mart iaitu Xin Jian Chang Sdn Bhd bersama tiga pengarahnya, didakwa atas masing-masing satu pertuduhan bersubahat melukakan perasaan orang Islam dalam isu berkaitan stoking tertera kalimah Allah pada tempat, waktu dan tarikh yang sama.

Pembekal itu ialah tiga beranak, suami, Soh Chin Huat, 61; isterinya, Goh Li Huay, 62; dan anak mereka, Soh Hui San, 36;

Sebelum ini, mereka didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 298 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 1:44 PM