Antara premis warga asing yang diserbu polis. FOTO Ihsan PDRM
Antara premis warga asing yang diserbu polis. FOTO Ihsan PDRM
Iskandar Shah Mohamed


KEGIATAN warga asing menjalankan aktiviti persundalan dan pusat hiburan tanpa lesen di Taman Meru, Klang sejak tiga bulan lalu mengundang padah apabila ‘dikunjungi’ pihak berkuasa semalam.

Lebih mengejutkan, tiga premis itu beroperasi pada siang hari termasuk rumah pelacuran yang dipercayai ditawarkan khas untuk pelanggan warga asing di kawasan berkenaan.

Selain itu, dua pusat hiburan menyediakan khidmat gadis pelayan pelanggan (GRO) untuk melayan lelaki ‘mata keranjang’.

Aktiviti tidak bermoral itu bagaimanapun berjaya dibongkar sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara dengan kerjasama Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang menyerbu semua premis itu pada 2.15 petang.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, serbuan dijalankan hasil maklumat dan risikan mengenai kewujudan premis tidak berlesen yang diusahakan warga asing.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiga premis yang masing-masing berada di lokasi berdekatan itu membabitkan dua pusat hiburan dan sebuah rumah pelacuran haram.

“Ia membawa kepada penahanan tiga wanita warga Indonesia berusia lingkungan 20-an disyaki pelacur, selain empat wanita disyaki GRO masing-masing dua warga Nepal dan Indonesia.

“Selain tiga pekerja premis, 10 lelaki warga Nepal yang juga pelanggan ditahan bagi membantu siasatan,” katanya hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas beberapa keping kertas rekod perniagaan dan wang tunai RM790.

“Kita juga merampas 35 kondom, tisu, buku nota catitan perniagaan dan serangkai kunci.

“Semua suspek berusia lingkungan 25 hingga 54 tahun itu dibawa ke IPD Klang Utara untuk tindakan lanjut,” katanya.

Nurulhuda berkata, siasatan awal mendapati semua premis yang dibuka dari 12 tengah hari hingga 8 malam itu tiada lesen perniagaan sah dan mensasarkan pelanggan warga asing.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Ia membabitkan kesalahan menawarkan khidmat seks, gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah dan melanggar syarat pas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 11:48 PM