GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Izz Laily Hussein


Johor Bahru : Bekas pengawal keselamatan warga Indonesia, La Ode Ardi Rasila, 47, yang dihukum gantung kerana membunuh pegawai AmBank cawangan Subang Jaya pada 2013 berjaya mengetepikan hukuman berkenaan.

Keputusan itu dibuat panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah di sini, hari ini.

La Ode dijatuhkan hukuman penjara 38 tahun berserta 12 sebatan bagi pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas berjaya dalam semakan hukuman itu.

Lelaki yang berasal dari Sulawesi, Indonesia itu turut dijatuhkan hukuman penjara 33 tahun dan 12 sebatan bagi pertuduhan kedua di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melakukan rompakan dan dengan sengaja melepaskan tembakan dengan senapang patah selepas diketepikan hukuman mati.

Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 10 November 2013.

Berdasarkan kertas pertuduhan, La Ode didakwa membunuh Norazita Abu Talib yang ketika itu berusia 37 tahun dalam bangunan AmBank di Jalan Sentral 2, USJ Sentral, Subang Jaya, Selangor antara jam 6 petang dan 6.30 petang, 23 Oktober 2013.

Dalam kejadian itu, La Ode dilaporkan meminta rakan sekerja mangsa untuk mengisi wang bernilai kira-kira RM500,000 ke dalam sebuah beg sebelum melarikan diri menggunakan sebuah motosikal.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam, S Selvi.

Pada 29 Februari 2016, Mahkamah Persekutuan di Putrajaya mengekalkan hukuman gantung terhadap lelaki itu selepas panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif sebulat suara menolak rayuan La Ode kerana berpuas hati terdapat bukti mencukupi bagi mengekalkan Keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam, sebelum itu.

La Ode menetap di Malaysia dengan menggunakan kad pengenalan palsu dan mencari kerja di Malaysia sebelum bekerja sebagai seorang pengawal keselamatan pada 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 2:13 PM