TANGKAP layar video perjalanan Iman Natasha Mazlan ketika minggu pertama bertugas sebagai guru dan ke sekolah menaiki pengangkutan awam.FOTO TikTok
TANGKAP layar video perjalanan Iman Natasha Mazlan ketika minggu pertama bertugas sebagai guru dan ke sekolah menaiki pengangkutan awam.FOTO TikTok
Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Ketika guru lain ke sekolah dengan menaiki motosikal atau kereta, lain pula kisah Iman Natasha Mazlan yang menggunakan pengangkutan awam iaitu bas dan transit aliran ringan (LRT) untuk pergi mengajar.

Perjalanan Iman Natasha, 24, ke sekolah itu dikongsikan menerusi hantaran di TikTok dan mendapat perhatian warganet apabila video dimuat naiknya pada 21 Jun lalu meraih lebih 314,000 tontonan.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Universiti Malaya (UM) itu berkata, dia baru memulakan tugas sebagai guru bahasa Inggeris di sebuah sekolah menengah, di sini, pada 1 Julai lalu.

Justeru, Iman Natasha belum memiliki kenderaan sendiri jadi menggunakan pengangkutan awam untuk ke sekolah bagi menjalankan tugasnya sebagai pendidik.

"Saya belum ada kenderaan kerana sebelum jadi cikgu sudah biasa naik LRT dan pengangkutan awam untuk ke mana-mana.

"Memandangkan saya baru bekerja sebagai guru, jadi belum stabil daripada segi kewangan dan satu bebanan untuk beli kereta kerana ada komitmen bulanan bagi membayarnya.

"Jadi, buat masa ini saya ambil keputusan ke sekolah dengan naik bas dan LRT," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Berkongsi pengalaman hari pertamanya ke sekolah, Iman Natasha bangun seawal jam 5.30 pagi sebelum keluar rumah untuk menaiki bas dan LRT.

Anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, cabaran awalnya adalah untuk mengetahui hentian bas berhampiran supaya tidak berjalan jauh ke sekolah.

"Sebelum mulakan tugas, saya cuba rasai sendiri pengalaman naik bas dan LRT ke sekolah. Tapi saya tersilap hentian sampai kena jalan kaki 16 minit untuk ke sekolah.

"Tapi okay saja cuma ada satu hari, hujan renyai dan walaupun bawa payung namun baju saya tetap basah terkena tempiasnya.

"Jadi sebagai persediaan, saya memang akan bawa payung selain pakai kasut sukan dulu sebelum tukar dengan kasut lain selepas tiba di sekolah," katanya.

IMAN Natasha memiliki Ijazah Sarjana  Muda Pendidikan lulusan UM. FOTO Ihsan Iman Natasha Mazlan
IMAN Natasha memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan lulusan UM. FOTO Ihsan Iman Natasha Mazlan

Iman Natasha berkata, niatnya memuat naik video di TikTok sekadar untuk berkongsi pengalaman dan perjalanan awalnya sebagai pendidik.

"Waktu di sekolah dulu memang saya tak pernah nampak cikgu naik bas atau jalan kaki tapi bila kongsi di TikTok, ramai juga guru cerita pengalaman mereka naik bas serta berjalan jauh ke sekolah.

"Jadi, baru saya sedar rupanya ia perkara biasa dan segelintir pelajar pun tahu saya guna pengangkutan awam kerana guna jalan sehaluan dengan mereka waktu pergi serta pulang dari sekolah.

"Ada antaranya (pelajar) pun tengok video saya di TikTok namun jujurnya tiada istilah penat untuk ke sekolah kerana memang tugas saya mengajar malah sudah tetapkan di minda untuk hadap segala cabaran mendatang sebagai pendidik.

"Cuma, saya memang ada perancangan beli kereta apabila kewangan sudah stabil untuk kemudahan jangka masa panjang," katanya.

Berhubung kerjaya sebagai guru pula, Iman Natasha berkata, minat itu tercetus selepas salah seorang rakan yang dibantu mendapat keputusan A- untuk bahasa Inggeris dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Daripada situ, saya berasa satu kepuasan dengan mengajar jadi nekad sambung pengajian bermula dengan peringkat Asasi Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) selama setahun di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dengkil, Selangor sebelum ke UM.

"Ayah pun dulu seorang guru jadi dia rujukan saya dan banyak mengajar mengenai sistem pendidikan serta falsafahnya walaupun ayah mahu saya bergelar peguam.

"Tapi bila nampak minat saya, ayah beri sokongan dan memang gementar serta ragu-ragu dengan kemampuan diri tapi Alhamdulillah, tugas berjalan lancar setakat ini.

"Cuma, saya latih diri jadi tegas apabila di dalam kelas dan cuba cakap lebih kuat walaupun hakikatnya tak begitu pun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 1:27 PM