ONG Kim Huat @ Isa Yusuf, 65, yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu ditemukan selamat, hari ini. FOTO ihsan JBPM
ONG Kim Huat @ Isa Yusuf, 65, yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu ditemukan selamat, hari ini. FOTO ihsan JBPM
Mohd Roji Kawi


Kuching: Lelaki warga emas yang dilaporkan hilang ketika menangkap ikan berdekatan Muara Sebuyau, Simunjan pada Jumaat lalu ditemukan selamat, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, Ong Kim Huat @ Isa Yusuf, 65, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di Pulau Burung berdekatan Muara Tebas di sini, pada 9.30 pagi.

"Mangsa kemudiannya dibawa ke jeti pos kawalan operasi (PKO) di jeti Muara Sebuyau dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Sebuyau untuk pemeriksaan lanjut," katanya.

Menurutnya, berdasarkan laporan yang dibuat anaknya pada 8.05 pagi semalam, mangsa keluar dari rumahnya di Kampung Demak Baru, Jalan Bako di sini, pada 2.30 petang Jumaat lalu dengan menaiki bot miliknya menghala ke perairan Sebuyau.

Dalam laporan yang dibuat anaknya itu, mangsa dikatakan menghantar mesej menerusi aplikasi Whatsapp pada 5.02 petang Jumaat lalu dari lokasi terakhir di Muara Sebuyau, Simunjan.

Sejurus menerima laporan itu semalam, operasi SAR diaktifkan dengan tumpuan awal di kawasan Muara Sebuyau.

Selain anggota JBPM, operasi SAR turut disertai bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Polis Marin (PPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 1:56 PM