GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Umat Islam yang bakal melaksanakan ibadah korban sempena Aidiladha perlu mendapatkan permit penyembelihan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan Komoditi dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, Datuk Azman Nasrudin berkata, langkah itu bagi memastikan ternakan yang sihat saja disembelih serta mengurangkan risiko berlakunya kejadian wabak penyakit ternakan selepas musim perayaan.

"Orang ramai yang berhasrat melaksanakan ibadah korban hendaklah mematuhi peraturan ditetapkan dan membuat permohonan pendaftaran penyembelihan di Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah berhampiran.

"JPV Kedah telah menyediakan prosedur permohonan untuk pelaksanaan ibadah korban selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada bagi kemudahan semua pihak," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Azman berkata, kegagalan mendaftarkan ternakan adalah kesalahan mengikut Enakmen Pendaftaran Kerbau Lembu Negeri Kedah (pindaan pertama 1990) dan boleh dikompaun tidak melebihi RM300.

"Mereka yang melakukan pemindahan ternakan lembu, kerbau, kambing dan bebiri tanpa kebenaran bertulis yang sah daripada Pengarah Perkhidmatan Veterinar atau Pihak Berkuasa Veterinar juga boleh diambil tindakan mengikut Akta Binatang 1953 (pindaan 2013) dan denda tidak lebih RM15,000.

"Kita memohon kerjasama semua pihak yang berhasrat melaksanakan ibadah korban membuat pendaftaran ternakan dan mendapat kebenaran pemindahan ternakan di Pejabat Perkhidmatan Veterinar daerah selewat-lewatnya Khamis ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2022 @ 10:35 AM