Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.
Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.
Hazira Ahmad Zaidi


PELAKSANAAN ibadah korban di Kelantan dibenarkan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Yang Dipertua MAIK yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, ibadah korban dibenarkan selepas mengadakan Mesyuarat Khas Mengenai Pelaksanaan Ibadah Korban.

Menurutnya, mesyuarat itu turut dihadiri Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamed, Bahagian Kerajaan Tempatan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan dan polis.

Katanya, ibadah korban hanya dibenarkan diadakan di lokasi ditetapkan antaranya Rumah Sembelihan JPV, Rumah Penyembelihan Ruminan Swasta dilesenkan serta masjid, surau, kawasan awam dan persendirian yang diluluskan JPV.

"Pihak penganjur perlu menyediakan cecair pembasmi kuman dan jangka suhu sebagai langkah awal sebelum pelaksanaan ibadah korban.

"Pemeriksaan perlu dibuat di pintu masuk ke tempat pelaksanaan ibadah korban, namun kanak-kanak berusia bawah 12 tahun tidak dibenarkan hadir di kawasan ibadah korban yang dijalankan.

"Bagaimanapun, bagi individu yang hadir dan mempunyai suhu badan 37.5 darjah selcius ke atas atau yang bergejala tidak dibenarkan menyertai aktiviti dan perlu dirujuk kepada klinik kesihatan berdekatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, peralatan menyembelih, melapah dan memproses daging perlu berada dalam keadaan baik, bersih dan tajam sama ada ia disediakan oleh penganjur atau dibawa oleh individu, tetapi tidak boleh dikongsi.

"Selain itu, penjarakan sosial perlu diamalkan dan elakkan 3S (sesak, sempit dan sembang dekat) serta petugas korban diwajibkan memakai pelitup muka," katanya.

Katanya, petugas aktiviti korban bagi seekor ternakan ruminan besar seperti lembu atau kerbau tidak melebihi 14 orang, manakala bagi ruminan kecil seperti kambing atau bebiri pula tidak melebihi dua orang dan tidak digalakkan menunggu sehingga selesai majlis.

"Peserta ibadah korban perlu mewakilkan kepada penganjur ibadah korban bagi menyempurnakan akad dan wakalah.

"Jarak di antara lembu yang akan disembelih di kawasan masjid, surau atau kawasan lapang juga tidak kurang lima meter antara satu sama lain selain jumlah maksimum dihadkan sebanyak 10 ekor bagi satu-satu masa.

"Bagi majlis korban yang membabitkan jumlah ternakan yang besar digalakkan pelaksanaannya dilakukan dalam tempoh hari tasyrik," katanya.

Katanya, syarat pelaksanaan penyembelihan ternakan korban memerlukan Sijil Kesihatan Veterinar, permit menyembelih dan tapak penyembelihan yang sesuai, bersih serta selamat serta tidak berhampiran saliran awam.

"Selepas pelaksanaan ibadah korban, pihak penganjur perlu memastikan keseluruhan tapak penyembelihan, melapah, dan mengagih dibersihkan.

"Selain itu, sisa pepejal juga dibungkus dan dilupuskan dengan cara bersesuaian berdasarkan peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT), manakala sisa cecair seperti darah haiwan sembelihan perlu ditanam atau dilupuskan dengan cara yang bersesuaian.

"Petugas-petugas perlu melaksanakan pembersihan dan disifeksi mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Katanya, petugas perlu melakukannya agihan secara langsung kepada peserta yang mengambil bahagian dan fakir miskin berdasarkan senarai nama yang sudah ditetapkan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2020 @ 5:18 PM